25 November 2010

Tertuduh pengsan

MELAKA: Seorang lelaki yang dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan bersubahat menipu Majlis Agama Islam Melaka (Maim), membabitkan kerugian RM486,500 bagi pembinaan Kompleks Pejabat Majlis Agama Islam Melaka pada 2005, tiba-tiba rebah di kandang pesalah sebaik mendengar keputusan itu.

Khairul Mukhzani Khairuddin, 31, yang bertubuh kecil tiba-tiba lemah dan tersandar di dalam kandang pesalah dan terpaksa diangkat polis yang kemudian membaringkannya di lantai.

Kejadian itu mengejutkan orang awam dan kakitangan mahkamah yang mengikuti prosiding apabila ibu tertuduh spontan menjerit ‘Ya Allah, anak aku’ sambil menangis, begitu juga beberapa ahli keluarga lain turut mengalirkan air mata hingga menimbulkan suasana sayu.

Bagaimanapun, Majistret Muhammad Faizal Ismail, meneruskan prosiding itu bagi membolehkan peguam, Faizal Aris, mengemukakan rayuan dan selepas kira-kira 10 minit tertuduh sedar kembali sebelum diangkat serta didudukkan polis.

Tertuduh yang kelihatan murung dan memandang ke bawah kemudian diberikan minuman oleh ibu dan adik perempuannya.

Terdahulu, Muhammad Faizal yang membuat keputusan hukuman itu di akhir pembelaan berkata, beliau meneliti keseluruhan fakta kes serta hujah kedua-dua pihak dan berpuas hati bahawa Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar, membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Menurutnya, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan.

Katanya, antara lain asas pembelaan tertuduh adalah dia tidak mengetahui penipuan itu dan dipaksa tertuduh pertama, Mazrin Abd Aziz, 34.

“Mahkamah berpendapat, keterangan tertuduh meragukan dan tidak munasabah serta bercanggah dengan keterangannya. Tertuduh tidak putus-putus menafikan, tetapi nyata keterangan menunjukkan sebaliknya. Dia menyebut curiga dengan Mazrin tetapi tiada laporan polis dibuat, jika benar.

“Mahkamah juga berpendapat semua keterangan tertuduh difikirkan kemudian iaitu satu ‘after thought’ dan direka-reka. Jelas prinsip undang-undang bahawa pembelaan perlu dikemukakan seawal mungkin ketika kes pendakwaan supaya tidak timbul andaian bahawa keterangan itu difikirkan kemudian.

“Mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh memainkan peranan penting dan terbabit secara langsung dalam penipuan ini,” katanya.

Khairul Mukhzani didakwa bersubahat dengan Mazrin untuk menipu Maim dengan mengemukakan surat permohonan pembayaran interim oleh Uni Integrated Construction Sdn Bhd bagi pembinaan Kompleks Pejabat Maim berjumlah RM486,500 untuk dimasukkan ke akaun bernombor 5040-1282-9985. Berikutan itu, dia dengan curangnya mendorong Maim membuat pembayaran itu menggunakan cek Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 763859.

Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira jam 10.45 pagi pada 6 September 2005 di Malayan Banking Berhad, 171-175 Jalan Munsyi Abdullah, dekat sini, serta dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda.

Sementara itu, Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan terhadap Mazrin yang menghilangkan diri sebaik diperintah membela diri pada 25 Jun lalu sehingga kini. Hukuman akan dilaksanakan apabila waran tangkap berjaya disempurnakan.

Katanya, tertuduh pertama sengaja menafikan haknya untuk membela diri walaupun diberi peluang oleh mahkamah dan gagal dikesan polis serta penjamin iaitu adiknya menyebabkan semua wang jaminan dirampas dan waran tangkap tanpa cagaran dikeluarkan terhadapnya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment