01 November 2010

Kerajaan kenal pasti cara terpantas selesai masalah kaum India – PM

KLANG 31 Okt. – Kerajaan melalui Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India dan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan sedang mengenal pasti jalan penyelesaian yang paling cepat kepada beberapa masalah serius yang dihadapi masyarakat India dan perkhidmatan yang diperlukan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, antara masalah dan perkhidmatan yang diberi perhatian serius oleh kerajaan adalah ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan, sumbangan kebajikan, peluang pekerjaan, kekurangan pinjaman mikro kredit dan masalah yang dihadapi sekolah-sekolah Tamil.

Beliau berkata, semua jalan penyelesaian itu akan dilaksanakan melalui inisiatif agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau, melalui jawatankuasa dan pasukan khas itu juga, semua perkhidmatan yang diperlukan mereka akan diberikan perhatian secara terperinci.

‘‘Ini jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

‘‘Kami juga tidak lagi menunggu anda ke Putrajaya malah kami bertekad untuk membawa Putrajaya kepada anda,” tegas beliau.

Perdana Menteri menegaskan demikian dalam teks ucapannya sempena Karnival Deepavali 1Malaysia di Jalan Tengku Kelana di sini malam ini. Teks ucapan tersebut dibacakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor yang mewakili beliau.

Hadir sama Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk Kenneth Eswaran, Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia adalah negara untuk semua rakyatnya atau pun ‘Namathu Naadu’.

Ujar beliau, setiap individu yang lahir di bumi Malaysia adalah warganegara ini dan bukannya pendatang.

‘‘Kita dapat melihat sendiri pada hari ini, di kawasan Jalan Tengku Kelana bagaimana konsep perpaduan dan penyatuan rakyat telah dipraktikkan.

‘‘Dalam kawasan Bandar Klang ini, kita dapat melihat sebuah masjid, kuil dan di seberang jambatan pula terdapat komuniti Cina.

‘‘Inilah cara hidup rakyat Malaysia yang telah diamalkan sejak turun-temurun dan inilah juga amalan hidup yang berupaya untuk meneruskan Gagasan ‘Ore Malaysia’ (1Malaysia),” kata beliau lagi.

Mengenai pembangunan di Jalan Tengku Kelana tambah beliau, sumbangan dan peningkatan kegiatan ekonomi di sini adalah begitu ketara sehingga mampu menjadi ‘syurga membeli-belah’ untuk pelbagai jenis tekstil, pakaian, barangan kemas dan perhiasan yang mampu menarik rakyat seluruh negara dan Singapura. - Utusan

* Ramai orang India berhijrah ke luar negara...

No comments:

Post a Comment