PETALING JAYA: Malang bertimpa-timpa. Niat mahu membantu rakan yang baru dikenali melalui laman sembang membawa padah kepada seorang ahli perniagaan apabila dia kerugian RM75,000 selepas diperdayakan tiga individu dipercayai anggota sindiket penipuan.
Mangsa yang berusia 37 tahun pada mulanya mengenali seorang lelaki Julai lalu dalam laman sembang yang mengaku dia anggota polis dan memerlukan wang untuk menguruskan polisi insurans yang didakwa milik bapanya yang baru meninggal dunia bernilai RM1 juta.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata mangsa memasukkan wang RM30,000 ke dalam akaun lelaki terbabit yang berjanji akan membayar kembali wangnya selepas segala urusan selesai.
“Bagaimanapun, selepas wang terbabit dimasukkan mangsa tidak menerima sebarang panggilan daripada lelaki terbabit dan ketika dia menanti jawapan itu seorang wanita pula menghubunginya.
“Wanita itu mendakwa dia seorang pegawai daripada syarikat insurans dan memberitahu anggota polis yang dikenali mangsa sudah meninggal dunia, namun dia ada meninggalkan wasiat untuk mangsa,” katanya.
Menurutnya, wanita itu memberitahu mangsa yang dia terpaksa membayar yuran untuk memproses wasiat yang ditinggalkan lelaki terbabit.
“Wanita terbabit meminta mangsa memasukkan lagi RM30,000 ke dalam satu akaun dan mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memasukkan wang seperti diminta.
“Mangsa memasukkan wang berkenaan beberapa kali ke dalam akaun itu, bagaimanapun selepas beberapa lama menunggu tiada sebarang jawapan daripada wanita terbabit,” katanya.
Katanya, mangsa menghubungi wanita terbabit dan dimaklumkan dia baru lepas bersalin dan meminta mangsa bersabar.
“Tidak lama selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa kakitangan sebuah bank dan memberitahunya segala proses sudah siap dan cek untuknya sudah dikeluarkan.
“Bagaimanapun, wanita terbabit meminta mangsa memasukkan RM7,000 lagi kononnya untuk pembayaran yuran transaksi dan meminta dia menunggu panggilan selepas segala proses selesai,” katanya.
Arjunaidi berkata, mangsa sekali lagi mengikut arahan diberikan, namun selepas beberapa lama menunggu dia langsung tidak menerima sebarang khabar atau panggilan daripada wanita terbabit.
“Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis, kelmarin selepas dia gagal menghubungi semua suspek. “Berikutan itu, dia mengalami kerugian RM75,000 keseluruhannya dan polis percaya ini sindiket yang merancang untuk menipunya,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Mymetro
No comments:
Post a Comment