Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
29 November 2010
'Cinta satu balai' ke jenjang pelamin
BATU PAHAT 28 Nov. - 'Cinta satu balai' atau jalinan percintaan sesama rakan setugas di balai polis yang sama akhirnya membawa pasangan Lans Koperal Farizul Ismail, 27, dan Lans Koperal Siti Juliana Zaib, 30, ke jenjang pelamin.
Lebih membahagiakan majlis meraikan mereka dijadikan pentas merapatkan hubungan antara polis dan masyarakat apabila kenduri itu diadakan secara gotong-royong di Balai Polis Parit Sulong, semalam.
Tiga ekor lembu ditumbangkan hasil sumbangan polis manakala kerja-kerja memasak, mendirikan khemah dan menghidang juadah dilakukan dengan kerjasama penduduk setempat.
Pada majlis itu, Farizul dan Siti Juliana, masing-masing dari Kampung Sungai Badak, Gurun, Kedah, dan Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu, kelihatan berseri-seri dengan pakaian pengantin berwarna merah.
Paluan kompang dan persembahan silat selain nyanyian daripada pegawai dan anggota polis turut memeriahkan lagi suasana majlis perkahwinan.
Turut hadir Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, kenduri itu bukan sekadar majlis perkahwinan tetapi satu aktiviti kepolisan komuniti yang berkesan.
"Atas rasa tanggungjawab, Ketua Balai Parit Sulong, Sarjan Mejar Sa'yon Surat telah bekerjasama dengan penduduk kawasan Parit Sulong untuk menganjurkan majlis perkahwinan ini.
"Ini juga adalah salah satu program kepolisan komuniti dan mengeratkan lagi hubungan polis dan penduduk setempat," katanya kepada pemberita pada majlis perkahwinan itu, di sini semalam.
Menurut Ibrahim, hubungan erat antara polis dan masyarakat setempat amat penting dalam usaha pencegahan dan membanteras jenayah.
Mengenai pasangan pengantin itu, beliau memberitahu, Farizul menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 April 2003 dan mula bertugas di Balai Parit Sulong pada 1 Februari 2004.
Katanya, Siti Juliana pula menyertai PDRM pada 1 Disember 2004 dan mula bertugas di Balai Parit Sulong pada 20 Mei 2005.
Pasangan itu dinikahkan di kampung halaman Siti Juliana pada 9 Oktober lalu. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment