KUALA LUMPUR, 22 Nov — Azmin Ali, yang menjuarai persaingan jawatan timbalan presiden PKR yang berakhir semalam, secara terbuka membidas bekas pesaingnya, Datuk Zaid Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang gagal sejak hari pertama dalam parti itu.Dalam kenyataan pertama selepas mengakhiri persaingan, Ahli Parlimen Gombak ini yang memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti besar menyifatkan Zaid sebagai pemimipin yang tiada sikap rendah diri, malah tiada semangat berpasukan meskipun kepimpinan parti memberikan beliau jawatan tertinggi sejak menyertai PKR pertengahan tahun lalu.
Sehubungan itu, Azmin mengucapkan “semoga berjaya” kepada Zaid yang mahu menubuhkan parti baru.
“(Tetapi) saya tidak pasti sama ada beliau boleh berjaya atau tidak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada sidang media berasingan di Petaling Jaya, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Zaid bukan lagi ahli parti itu selepas pihaknya menerima notis keluar parti 19 November lalu.
“Dalam beberapa bulan, anda telah melihat karakter beliau yang sebenar. Beliau bukan seorang yang boleh bekerja sebagai satu pasukan, beliau bukan merupakan seorang pemain berpasukan, jadi macam mana anda boleh menerajui sebuah parti atau mana-mana pertubuhan, jika anda tidak mendengar (orang lain)?” kata beliau.
“(Kalau) anda mahu menerajui parti, anda mesti mendengar pelbagai pandangan. (Zaid) tiada semangat rakan perjuangan sama sekali. Jadi, saya tidak pasti sama ada dia boleh berjaya atau tidak,” kata beliau kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.
Azmin pada awalnya enggan menjawab soalan berkaitan dengan Zaid, yang minggu lalu mengumumkan mahu keluar dari PKR.
Katanya, beliau tidak berminat untuk bercakap mengenai persaingan dalam pertandingan jawatan timbalan presiden.
“Beliau bukan lagi anggota parti, jadi saya tidak berminat bercakap apa-apa mengenai beliau,” kata Azmin yang ditanya mengenai serangan berterusan Zaid dan dakwaan terhadap kepimpinan PKR.
Ekoran soalan bertubi-tubi, Azmin mendakwa Zaid telah gagal untuk mengemukakan bukti-bukti yang boleh menyokong aduan-aduan berkaitan dengan kepincangan dalam proses pengundian pemilihan langsung yang julung kali diadakan.
“Beliau telah gagal untuk mengemukakan bukti. Bagaimanapun anda boleh membuat dakwaan menerusi media Umno dan Barisan Nasional dan anda telah gagal untuk menyokong dakwaan anda dengan bukti?
“Sehingga kini, beliau enggan. Apa hendak buat? Dan, setiausaha agung telah membuat pengumuman dan penjelasan bahawa tiada asas kepada dakwaan-dakwaan itu,” katanya lagi. - TheMalaysianInsider
No comments:
Post a Comment