23 November 2010

Arnold Schwarzenegger mungkin berlakon balik

LOS ANGELES 22 Nov. - Arnold Schwarzenegger mungkin kembali berlakon apabila penggal perkhidmatannya sebagai Gabenor California berakhir pada Januari tahun depan.

Bekas bintang filem itu mengakui beliau sedang menimbangkan beberapa pilihan yang boleh diambilnya pada tahun depan dan kembali berlakon sebagai bintang filem aksi adalah satu kemungkinan.

"Menyertai kempen memerangi perubahan iklim boleh menjadi pilihan utama," kata Schwarzenegger yang muncul seketika dalam filem Sylvester Stallone, The Expendables pada awal tahun ini.

Katanya, pembabitan dalam kempen tersebut mungkin antara lima perkara yang akan dilakukannya, termasuk menceburi semula dunia hiburan dan aktif dalam dunia perniagaan.

Aktor filem Terminator itu berjaya menempa kerjaya dalam dunia perfileman, politik dan sukan bina badan dan berpendapat kejayaannya itu adalah kerana beliau mengetahui di mana letaknya kekuatan diri.

"Saya sentiasa mempunyai cita-cita besar sepanjang hidup saya tetapi saya juga cukup bijak untuk mengenal pasti kebolehan saya dan sumbangan yang boleh saya berikan kepada dunia," katanya.

Selain menimbang untuk kembali berlakon, Schwarzenegger buat masa ini melancarkan kempen global memerangi perubahan iklim dan mengakui walaupun sukar untuk menarik minat orang ramai terhadap isu-isu alam sekitar, beliau ada rancangannya sendiri.

Katanya, mereka yang terlibat dalam kempen sedemikian selalunya terperangkap dengan slogan dan agenda kecil masing-masing.

"Kita perlu menjadikan isu tersebut menarik untuk menyertai gerakan ini.

"Saya fikir saya mempunyai kebolehan untuk menyuarakan isu alam sekitar dengan cara yang mudah difahami oleh seluruh dunia, dan bukan menjadikannya rumit," katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment