SINGAPURA 22 Nov. - Tiga ahli keluarga pengganas Singapura, Mas Selamat bin Kastari dikenakan hukuman penjara setelah didapati bersalah membantunya melarikan diri ke Malaysia dengan menyamar sebagai wanita selepas dia bolos daripada tahanan pada 2008.
Menteri Dalam Negeri, K. Shanmugam hari ini memberitahu Parlimen, Mas Selamat yang akhirnya ditangkap di Malaysia dilindungi oleh mereka bertiga di rumah pangsa mereka selama dua hari ketika operasi besar-besaran untuk memburunya dijalankan di seluruh republik ini.
Saudara lelaki Mas Selamat, Asmom, adik iparnya Aisah dan anak saudaranya, Nur Aini binti Asmom ditangkap awal bulan ini berikutan satu siasatan dan mereka mengaku bersalah memberi perlindungan kepada seorang 'tahanan kerajaan', kata Shanmugam.
Mas Selamat disolekkan sebagai seorang wanita, diberi pakaian dan sehelai tudung di samping dibekalkan dengan wang, ubat, beg galas, lampu suluh, beg plastik kedap udara dan sekeping kad tambang pengangkutan elektronik, kata menteri itu.
"Kerana tindakan mereka itu, Nur Aini, Asmom dan Aisah masing-masing dikenakan hukuman penjara 18 bulan, 12 bulan dan tiga bulan," katanya.
Nur Aini, yang telah menjalani latihan perguruan, menerima hukuman paling berat kerana dia memberi bantuan paling banyak kepada bapa saudaranya itu.
Mas Selamat didakwa mengetuai Jemaah Islamiah (JI) cawangan Singapura dan dituduh berkomplot untuk merempuh Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dengan sebuah pesawat yang dirampas, seperti serangan di Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001. - AFP
No comments:
Post a Comment