KUALA LUMPUR 16 Okt. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta para pemimpinnya yang berkelakuan seperti 'sampah politik' adalah dalang utama yang merosakkan landskap politik negara.
Katanya, para pemimpin PKR telah menyuburkan budaya politik kotor iaitu matlamat menghalalkan cara sehingga menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan masyarakat semata-mata hanya untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Kepimpinan PKR terdiri daripada mereka yang dianggap sebagai sampah oleh parti yang dianggotai terdahulu, kini mereka berada dalam bakul sampah yang sama sehingga akhirnya kekotoran itu mengeluarkan bau yang busuk.
"Kini, bau yang busuk itu sudah tidak boleh ditutup lagi dan bagi melepaskan diri, mereka salahkan pihak lain. Mereka dan parti inilah yang bertanggungjawab merosakkan landskap politik negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan terbaru Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang menuduh calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai dalang utama yang menyebabkan berlaku pelbagai kekecohan di sepanjang pemilihan cabang parti itu.
Dakwaan itu bertentangan dengan tuduhan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang pantas menyalahkan pihak ketiga dalam siri kekecohan sehingga menyaksikan beberapa kejadian pergaduhan termasuk insiden membaling kerusi.
Ditanya apakah pendedahan Gobalakrishnan itu merupakan kemuncak kepada kekalutan PKR, Ahmad Zahid berkata, ia hanya permulaan kepada kemelut yang lebih besar terutamanya apabila menjelang pilihan raya umum nanti.
"Ini permulaan kepada kemuncak kekalutan, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti akan ada lebih banyak kekecohan. Saya percaya lebih ramai individu dan pemimpin bakal berebut untuk menjadi calon nanti," jelasnya. - Utusan
* Sekarang ini, tidur bangun UmnoBN ingat PKR...
No comments:
Post a Comment