30 October 2010

Perjanjian PKR-DAP bukan main-main

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Perjanjian rahsia antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan DAP bukan suatu perkara yang boleh dianggap 'main-main' kerana ia didalangi oleh kepimpinan tertinggi parti terbabit.

Menyifatkan perjanjian itu sebagai 'konspirasi syaitan', Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bagaimanapun enggan mendedahkan dalang yang terlibat kerana masih menunggu masa dan keadaan yang sesuai.

"Pendedahan ini dibuat kerana saya mahu ahli bawahan Pas dan PKR serta rakyat Malaysia tahu bahawa wujudnya 'perjanjian syaitan' melibatkan PKR dan DAP.

"Jangan nanti apabila perkara sudah berlaku baru hendak menyesal. Baru hendak kata tidak jangka semua itu akan berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat semalam, beliau mendedahkan wujud perjanjian rahsia berhubung pegangan kuasa politik antara PKR dengan DAP yang tidak diketahui Pas.

Melalui perjanjian rahsia itu jelasnya, DAP akan memiliki kuasa autonomi ke atas Pulau Pinang sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

Perjanjian itu juga dakwanya, turut membenarkan wakil DAP dilantik sebagai Menteri Besar di negeri-negeri dimenangi parti itu.

Zulkifli menambah, bagi menjayakan rancangan itu, DAP dijangka meletakkan calon-calon Melayu terutamanya di Negeri Sembilan dan Perak untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"DAP meletakkan calon Melayu bagi membolehkan mereka dilantik sebagai Menteri Besar. Formulanya, mungkin dengan mencari calon Melayu daripada dalam PKR atau meletakkan calon pilihan parti itu sendiri.

"Memang kita lihat Lim Kit Siang seolah-olah tidak mendapat apa-apa. Tetapi sedarlah, autonomi yang diberikan kepada Pulau Pinang sebenarnya adalah ganjaran besar untuk Kit Siang dan keluarganya," ujarnya.

Ditanya bila sebenarnya perjanjian itu bermula, Zulkifli memberitahu, ilham mengenainya bermula apabila berlaku krisis bagi melantik menteri besar sewaktu pakatan pembangkang mula-mula menguasai Perak pada pilihan raya umum lalu.

"Setelah itu, timbul pula isu Kabinet bayangan yang mengatakan Kit Siang akan diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Di situlah, mulanya mereka memikirkan semua ini," katanya.

Mengulas gelaran 'badut' yang diberikan oleh Penasihat Jentera Pilihan Raya Pas DUN Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah terhadapnya dalam laman web propembangkang, The Malaysian Insider ekoran pendedahan itu, Zulkifli tidak langsung mengendahkannya.

"Mahu kata apa pun, ikut suka dialah. Anwar dulu terang-terang berbohong tentang 16 September, boleh pula dia terima," katanya.

Katanya, semua itu tidak mustahil berlaku kerana DAP memang diketahui tidak boleh menerima Pas.

"Pas tidak sedar mereka dijadikan kuda tunggangan,'' ujarnya. - Utusan

* Dekat pilihanraya dia muncul. Cari makan...

No comments:

Post a Comment