29 October 2010

Gadis ditemui mati dalam beg disahkan mengalami pendarahan dalam perut

KUALA LUMPUR: Mayat seorang gadis yang ditemui dalam beg pakaian dan dibuang di belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana di Hulu Kelang semalam, disahkan mati akibat pendarahan teruk dalam perut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata laporan bedah siasat yang diperolehi hari ini, mendapati gadis berumur awal 20-an itu mati akibat ditendang atau dipukul dengan objek yang keras di perut.

"Selain pendarahan di perut, terdapat juga kesan lebam di muka mangsa, namun tiada kecederaan luar dikesan pada tubuh mangsa yang telah mati dalam tempoh 24 jam itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata, tiga keluarga telah hadir ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bagi membuat pengecaman ke atas mayat itu.

"Setakat ini, tiga keluarga yang terdiri daripada keluarga Melayu dan Indonesia telah membuat pengecaman ke atas mangsa berikutan kehilangan ahli keluarga masing-masing. Tetapi selepas pengecaman dibuat, mayat itu bukan ahli keluarga mereka," katanya.

Katanya, polis juga tidak menerima sebarang laporan terbaru berhubung kehilangan ahli keluarga daripada mana-mana pihak susulan kejadian itu.

"Tiada sebarang tangkapan dibuat dan tiada penemuan terbaru ditemui oleh polis di lokasi kejadian," kata Abdul Jalil.
Dalam kejadian itu, mayat gadis tersebut ditemui oleh seorang pekerja bengkel kereta berkenaan kira-kira jam 3.30 petang dalam keadaan berlipat dan berpakaian lengkap.

Polis percaya gadis itu bukan rakyat tempatan memandangkan tiada parut suntikan vaksin BCG ditemui pada bahunya.

Sehelai kertas yang bertulis nama dan nombor telefon negara asing turut ditemui di dalam beg berkenaan. - BERNAMA

* Bila dia kata gadis itu bukan rakyat tempatan, sudah boleh agak kesudahan kes ini...

No comments:

Post a Comment