KUALA LUMPUR 6 April - Yayasan Al-Bukhary menyumbang RM5 juta kepada Tabung Warisan Negara, kendalian Jabatan Warisan Negara untuk menampung perbelanjaan bagi kerja-kerja penyelidikan dan pemuliharaan tapak warisan di negara ini.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, melalui sumbangan itu, jabatan berkenaan akan dapat menjalankan lebih banyak kerja pemuliharaan dan pemeliharaan warisan negara tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan.
"Projek pemuliharaan kompleks arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah adalah satu daripada projek yang akan menggunakan wang tabung berkenaan.
"Kita juga sedang berurusan dengan China supaya kepakaran arkeologi dan penyelidikan purba negara itu dapat kita guna bersama kerana kita perlukan beberapa penentuan antarabangsa dan ilmiah yang boleh dihormati dan diiktiraf,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan kementerian itu di Istana Budaya di sini, hari ini. — Bernama
No comments:
Post a Comment