BERA 12 April- Seorang guru agama yang pernah mengajar 'Tuan Muda' percaya ada orang lain yang mendorong pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menyamar sebagai anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Guru itu yang enggan nama dan gambarnya disiarkan berkata, sebelum remaja berkenaan ditahan polis, salah seorang kawan rapatnya memberitahu, dia sering bercakap dengan seseorang yang dipanggil 'bonda' menerusi telefon bimbit.
''Kawannya itu memberitahu, dia pernah mendengar 'Tuan Muda' ini bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbitnya yang dipanggil 'bonda' semasa dalam kereta.
''Antara perbualan yang didengari adalah, ''saya dalam perjalanan ke lapangan terbang bonda, saya dalam kereta dan sedang menuju ke Kuantan bonda,'' katanya.
Dia berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kedainya di Bandar 32, Tementi dekat sini semalam.
Menurutnya, melihat perwatakan pelajar pintar itu adalah sukar untuk mempercayai dia boleh bertindak sedemikian.
''Kalau tidak ada orang di belakang tindakannya itu, bagaimana dia dapat menyesuaikan diri dengan adat istiadat dan protokol istana ketika menghadiri beberapa majlis sebelum itu dan berjaya mempengaruhi orang lain untuk mempercayai dia anak angkat Tengku Mahkota," katanya.
Katanya, dia mula mengajar remaja tersebut mengaji sejak berusia empat tahun lagi sehingga tamat pengajian al-Quran pada usia enam tahun.
''Dia memang seorang anak pintar dan mudah mengajarnya sehingga berjaya menamatkan pengajian al-Quran pada usia muda dan selepas itu saya juga mengajarnya di Sekolah Agama Rakyat di Tanah Rancangan Felda Tementi.
''Dia tinggal bersama keluarga angkatnya, ayah angkatnya bekerja sebagai pembantu perubatan di Klinik Bandar 32 yang dikenali sebagai 'Din Ubat' dan ibu angkatnya bertugas sebagai jururawat di klinik yang sama lebih kurang 20 tahun lalu," katanya.
Bagaimanapun, selepas tamat SPM, ayah angkatnya memintanya tinggal bersama bapa saudaranya di Pekan dan hanya balik ketika mengambil keputusan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar 32, Bera.
Tambahnya, remaja itu adalah seorang pelajar yang baik, hormat pada orang tua dan sering tinggal di rumah jika tidak menghantar adik-adiknya mengaji al-Quran.
Dalam pada itu, katanya, dia juga tidak suka membuang masa melepak dengan kawan-kawan sebayanya.
Sementara itu salah seorang kawannya, Zulhilmi Abu Bakar, 18, memberitahu, 'Tuan Muda', seorang yang agak pendiam tetapi tidak sombong.
''Perwatakannya agak lembut dan dia suka bergaul serta berkawan dengan pelajar-pelajar perempuan, kalau dengan lelaki dia hanya rapat dengan beberapa kawan sekelasnya sahaja.
''Dia tidak suka membuang masa melepak dengan kami dan menghabiskan masa di rumah untuk membaca buku," kata Zulhilmi.
Menurutnya, pelajar pintar yang mendapat keputusan 9A 1B tidak aktif dalam sukan ataupun aktiviti kokurikulum tetapi aktif dalam pertandingan perbahasan dan berbalas pantun.
Katanya, dia juga sering menang dalam pertandingan perbahasan dan berbalas pantun dan dipilih mewakili sekolah untuk pertandingan di peringkat daerah dan negeri.
Tambahnya, walaupun suka berkawan dengan pelajar perempuan tetapi dia tidak mempunyai teman wanita.
Seorang lagi kawannya, Abdul Jalal Othman, 17, berkata, dia memang pelajar yang pintar dan pakar dalam syarahan dan berpidato.
''Selepas habis SPM, kami hanya sekali sekala berjumpa dengannya, sewaktu balik mengambil keputusan peperiksaan SPM, saya difahamkan dia tinggal bersama-sama bapa saudaranya di Pekan," kata Abdul Jalal. - Utusan
No comments:
Post a Comment