![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjBvsjIIi-R9ZafgeFUR4Ws14FzwvIgd0fVBU1I8vdcsalfpH6wJe-37cZomSKLTXJsxTwB02kMX-ZFYdWRrY_5ozZgFM9YTBJWVVK6f6cHCOZJZpYKO8y22oZjsKPm79CxTdA7lW5t0XN0/s400/adam+nikah.jpg)
Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kertas siasatan berhubung kes itu juga telah siap dan diselesaikan.
"Pihak kami telah menghantar kertas siasatan kes ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan menunggu tindakan lanjut,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
Jumaat lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menahan pemuda tersebut yang dipercayai teman lelaki Halimaton di rumahnya di pulau tersebut.
Lelaki itu kemudian dihantar ke IPD Kuala Muda di sini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Kisah Halimaton mula mendapat perhatian apabila pelajar tingkatan tiga itu bersembunyi di Langkawi sejak beberapa minggu lalu selepas dilaporkan hilang ketika berkunjung ke rumah kakaknya di Sungai Petani.
Halimaton yang baru berusia 15 tahun itu dilaporkan berkeras mahu berkahwin dengan teman lelakinya itu biarpun mendapat halangan daripada pihak keluarga.
Pelajar itu kemudiannya telah dibawa pulang oleh ahli keluarganya dari Langkawi Jumaat lalu dengan bantuan pegawai polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - Utusan
Teman lelaki Halimaton ditahan
LANGKAWI: Remaja lelaki, Mohamad Noor Abdullah, 19, yang juga teman lelaki pelajar pintar, Halimaton Abd Rashid, 15, ditahan polis di sini, Jumaat lalu.
Mohamad Noor ditahan polis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan, ketika dihubungi mengesahkan penahanan remaja lelaki itu dan kes itu diserah kepada IPD Kuala Muda untuk siasatan lanjut.
Penahanannya dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan polis dibuat keluarga Halimaton selepas pelajar pintar itu dilapor hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, 20 hari lalu.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj7d1_htM9fnyc9llgoUSmGvsi2ReCeObLWsyWJMPthsglLl31z3KvPC2i55vsSW2Iyxa4OcMKa9doP8jyfCi6mnUNsN8uXLB14VwZZryNC5wP24owSBav71nGd0-x1CvZS7-STjHdL077F/s400/pix_gal0.jpg)
Kakak Halimaton, Hamiza, 23, ketika dihubungi Harian Metro, semalam berkata adiknya dibawa pulang ke Baling kelmarin selepas ibu, bapa dan dua ibu saudaranya ke rumah Mohamad Noor di Kampung Kisap pada awal pagi hari sama.
Bagaimanapun, katanya, Halimaton dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star lewat petang kelmarin apabila pengsan selepas menerima rawatan tradisional diatur keluarganya. Keluarga saya membawa pulang Halimaton dengan kerjasama polis. Mereka tiba di Alor Star tengah hari semalam selepas menaiki feri dari sini kira-kira jam 10 pagi. Bagaimanapun Halimaton pengsan selepas menerima rawatan daripada pengamal perubatan tradisional, katanya. - Hmetro
Batal Hasrat Kahwin
Pelajar pintar mahu sambung semula persekolahan, buat persiapan duduki PMR
ALOR SETAR: Pelajar pintar, Halimaton Abd Rashid, 15, yang kini dalam perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kaunseling, membatalkan hasratnya untuk berkahwin sebaliknya mahu menyambung semula persekolahan dan menumpukan pada persiapan untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), hujung tahun ini.
Halimaton, yang dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sejak 22 Mac lalu, kerana ingin berkahwin dengan teman lelaki yang melarikannya, kini mahu kembali ke sekolah dan mengikuti pelajaran seperti biasa.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh-K2_yAMRxofyYukGJ2Y6Z4vLjlWIsMX3JdhpHkmIKaqfhG6ukTG5cTI-Ps5aYOBzGXzBH7mqUg079gS3ATBWlzhxa-U42GoF8M8ExRcal2USz4bY7Bi0vDKQB6KZhbYnXmQB4oDY3OLmP/s400/2sa.jpg)
Sumber yang rapat dengan keluarga gadis terbabit memberitahu, Halimaton yang sudah kembali ke pangkuan keluarganya kini beransur pulih dan dia semakin tenang selepas mendapat rawatan tradisional dan menjalani sesi kaunseling yang diberi oleh JKM.
“Ketika pertemuan pertama selepas menghilangkan diri, Halimaton sering menangis dan meminta maaf kepada keluarga terutama ibunya. Dia menyesal kerana melakukan kesilapan sebelum ini selain mendakwa segala yang berlaku sebelum ini tanpa disedarinya.
“Dia juga amat merindui rakan dan guru di sekolahnya selain ingin kembali bertemu dengan anak jiran yang mengikuti kelas Matematik yang dikendalikan Halimaton sendiri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Katanya, Halimaton juga terkejut dengan laporan akhbar mengenai kisah dia ingin berkahwin dengan teman lelakinya, Mohamad Noor Abdullah, 19, dan ternyata dia amat sedih kerana semua itu berlaku tanpa disedarinya.
“Dia sebenarnya amat terkejut kerana bagi Halimaton, itu bukan dirinya yang sebenar,” katanya.
Difahamkan JKM Kedah juga akan membantu membawa Halimaton kembali untuk melanjutkan pelajarannya dengan kemungkinan dia ditukar ke sekolah lain demi masa depannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi berkata, tempoh reman teman lelaki pelajar pintar itu tamat hari ini.
Difahamkan, penyelia restoran di Langkawi itu yang ditahan polis sejak Jumaat lalu bagi membantu siasatan kerana menyebabkan kehilangan Halimaton serta menyimpan kad pengenalan gadis berkenaan.
Semalam, akhbar ini melaporkan Mohamad Noor ditahan polis pada Jumaat lalu. Dia ditahan di rumahnya oleh sepasukan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi sebelum dihantar ke IPD Kuala Muda. - Bharian
No comments:
Post a Comment