KABUL - Militan Taliban kelmarin menyiarkan rakaman video seorang askar Amerika Syarikat (AS) yang ditawan di Afghanistan pada Jun tahun lalu. Rakaman tersebut menunjukkan Prebet Bowe Bergdahl merayu dibebaskan dan dihantar balik untuk menemui keluarganya di Idaho.
Dalam rakaman itu, Bergdahl memberitahu perang di Afghanistan tidak berbaloi dengan jumlah mereka yang terkorban atau dipenjarakan.
"Peperangan ini tidak berbaloi dengan jumlah nyawa rakyat AS dan Afghanistan yang terkorban. Ia juga tidak berbaloi dengan jumlah tahanan yang dipenjarakan di Teluk Guantanamo, Bagram dan tempat lain," katanya.
Rakaman selama tujuh minit itu menunjukkan Bergdahl menyimpan jambang dan melakukan senaman untuk menunjukkan dia berada dalam keadaan sihat.
Pada akhir rakaman itu, jurucakap Taliban menuntut pembebasan sejumlah tahanan sebagai balasan bagi membebaskan askar AS itu.
Bergdahl ditawan oleh militan Taliban selepas lima bulan berada di Afghanistan dengan bertugas di sebuah pangkalan dalam wilayah Paktika dekat sempadan Pakistan. - Sharian
No comments:
Post a Comment