03 April 2010

Program Terjah - Berakhirnya 13 Episod

SEJAK mula disiarkan di TV3 bermula 4 Januari 2010 lalu, program hiburan sensasi, Terjah! telah mendapat pelbagai maklum balas dari penonton mahupun golongan artis kita sendiri.

Setelah bersiaran sebanyak 13 episod, program Terjah! bakal melabuhkan tirainya untuk musim pertama bagi memberi ruang kepada program lain sementara pihak produksi mengambil kesempatan untuk memperbaiki mutu kandungan di samping menerapkan ciri-ciri yang disarankan selaras dengan Garis Panduan Penapisan Filem.

Terjah tetap terjah…untuk suatu kepastian! Memang itulah tagline atau slogan Nas Ahmad dalam segmennya di Melodi. Malah ada yang berpendapat rancangan ‘infotainment’ mingguan yang ke udara setiap hari Isnin, jam 11.00 malam ini tidak perlu dipisahkan dengan program Melodi kerana perbezaannya tidak begitu ketara.

Walau bagaimanapun, selepas perbincangan lanjut dan melalui proses tempoh percubaan, program Terjah! muncul dengan nafas baru dan diterbitkan oleh Nas Ahmad, bersama Siti Rohkhaida (Rock) selaku penolong penerbit dan wartawan penyiaran.

Nas dan Rock turut disertai oleh Nik Shafiq Hadhari dan Norsyamsyida Tahib masing-masing merangkul tugas wartawan penyiaran manakala Jamil Hassan bertindak sebagai penerbit eksekutif program ini.

Menjawab persoalan apakah beza antara Terjah! dan Melodi, penerbitnya, Nas Ahmad menjelaskan, ”Dua program ini berada dalam genre yang sama iaitu infotainment hiburan. Walaupun demikian, saya tetap mengekalkan ‘treatment’ Terjah! yang sama seperti di Melodi dulu kerana ia telah dikenali umum.

Keseluruhan program Terjah!, saya serapkan dengan kreativiti dan teknik paparan yang berbeza dari Melodi ke arah lebih sensasi, kreatif dan terkini”, ujarnya.

Sejak mula bersiaran, Terjah! menerima beberapa kecaman dari segelintir golongan artis yang kurang senang dengan paparan program ini. Ia mungkin kerana mereka tidak memahami visi sebenar Terjah! dan tidak setuju dengan tindakan Nas menerjah sana sini.

Perlu diingatkan bahawa terjah tidak menggangu kehidupan artis tetapi sekadar ingin melihat sejauh mana artis-artis ini menjawab persoalan apabila sesuatu isu dikaitkan dengan mereka.

Terjah tidak mensensasikan sesuatu isu tetapi sebaliknya merungkai serta mencari jalan penyelesaian kepada isu yang berbangkit.

Berita mengenai artis adalah satu berita yang ingin ditonton oleh peminat-peminat dan inilah satu cara bagaimana penonton boleh mengetahui mengenai artis yang diminatinya,” kata Nas Ahmad

Mengulas mengenai episod terakhir program ini, Pn. Nurul Aini Abu Bakar selaku Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 berkata, ”Pihak pengurusan TV3 sememangnya menyedari hakikat ini sekaligus memberi tanggungjawab kepada pihak produksi untuk menerajui ‘Terjah!’ dan menjadikannya platform positif dengan paparan dan isu-isu yang diketengahkan.

Kami sememangnya mengambil kira risiko dan kesan yang diperolehi daripada Terjah! dan sentiasa peka terhadap maklumbalas serta komen yang diterima supaya pihak kami sentiasa dapat memantau kualiti program tersebut.

Bukan itu sahaja, program-program lain yang bergenre infotainment hiburan seperti Melodi dan Fuhh.. terbitan TV3 juga turut dipantau kualitinya sejajar dengan kemahuan masyarakat masa kini dan garis panduan yang ditetapkan"

"Mengenai perkembangan program Terjah! selepas musim pertama, buat masa ini pihak kami akan menganalisis dan merujuk kepada semua komen dan ulasan yang diterima dan mengambil peluang ini untuk berbincang dengan team produksi dan Unit Pembangunan Kandungan Primeworks Studios Sdn. Bhd. untuk memastikan jika perlu ada perubahan yang harus dilakukan atau apakah langkah positif yang wajar diambil bagi menentukan masa depan program Terjah!,” tambah Pn. Nurul. - Mstar

No comments:

Post a Comment