PILIHAN Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor akan berlangsung esok. Hari ini peluang terakhir jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turun berkempen habis-habisan.
Walaupun ada petugas yang sudah mula keletihan, namun tidak siapa berani leka dan dapat tidur lena kerana memikirkan kejutan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Perkara yang merunsingkan saya ialah kejutan bermula daripada fitnah saat-saat akhir yang tidak sempat diperjelaskan kepada para pengundi kawasan Hulu Selangor yang cukup luas itu.
Kesan fitnah amat bahaya. Racunnya sukar untuk diubati dengan segera.
Semua penjelasan dan perancangan BN tiba-tiba boleh menjadi tidak relevan lagi dalam suasana pilihan raya kecil itu.
Dalam tempoh berkempen selama seminggu, BN telah memaparkan kejayaan dan apa yang akan dan sudah dilakukan untuk rakyat, tetapi poster dan sepanduk pembangkang pula lebih banyak berunsur fitnah.
Apa saja yang BN buat semuanya dituduh tidak betul dan penuh penyelewengan. Pembangkang tersalah pilih calon dan ketiadaan isu untuk menyerang peribadi calon BN. Oleh itu, mahu tidak mahu fitnah sajalah boleh menjadi modal mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memberi amaran kepada petugas BN tentang aktiviti 'kilang fitnah' parti pembangkang yang 'beroperasi' 24 jam bagi memburukkan pemimpin dan calon BN menjelang tamatnya tempoh berkempen pada pukul 12 malam ini.
Barangkali pembangkang akan menggunakan strategi menyebarkan pelbagai risalah tentang pemimpin UMNO dan BN pada malam ini.
Mereka peduli apa tentang etika berkempen, asalkan pengundi percaya dan membenci calon BN.
Kalau taktik sebar fitnah dan kenyataan palsu dapat meyakinkan pengundi Hulu Selangor untuk memihak kepada Zaid Ibrahim, maka itu akan dilakukan.
Pembangkang mungkin menggunakan strategi ini kerana terdesak dan tertekan apabila ceramah mereka sebelum ini tidak mendapat sambutan. Paling ketara apabila jentera pilihan raya PKR sendiri terkial-kial bagaikan tiada kekuatan sehingga terpaksa memanggil orang luar untuk membantu.
Jadi, apa yang mereka mampu lakukan ialah memutar-belitkan fakta dan menyebarkan fitnah serta memburukkan BN.
Justeru itu, saat-saat terakhir ini sehingga tamat proses pembuangan undi, semua jentera BN kena memberi sepenuh perhatian dan menjelaskan secara lebih terperinci apabila timbul isu-isu di peti-peti undi tertentu.
Permainan fitnah bukan asing pada pembangkang. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sendiri melancarkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada kerajaan BN dan Perdana Menteri.
Pendedahan bekas pemimpin kanan dan rakan karib Anwar tentang fitnah dan pembohongannya sepatutnya memberi keinsafan kepada penyokong Pas dan PKR. Paling berkesan jika beramai-ramai angkat kaki meninggalkan pemimpin yang banyak bercakap bohong itu.
Anwar sememangnya licik merancang konspirasi termasuk dengan menggunakan akuan bersumpah untuk meyakinkan orang ramai terhadap fitnahnya.
Kini, para pengundi Hulu Selangor kena berfikir dengan tenang. Mereka perlu mendengar dan melihat pada fakta, bukan mengikut rentak fitnah.
Memang P. Kamalanathan calon anak tempatan dari MIC, beragama Hindu tetapi beliau telah mendapat sokongan penuh BN. Jika tidak diberi tempat di Hulu Selangor, mana-mana tempat pun tiada peluang untuk calon MIC bertanding.
Paling utama, lihat parti mana di belakang calon yang memperjuangkan nasib rakyat.
Berbeza dengan Zaid, calon luar PKR berasal Kelantan. Jangan lihat pada peribadi Zaid sahaja tetapi pemimpin-pemimpin di belakangnya yang asyik melemparkan fitnah. Gaya berpolitik mereka pun lebih menjurus untuk merebut kekuasaan.
Masa depan kawasan Hulu Selangor bergantung kepada keputusan penting yang ditentukan oleh para pengundi esok. Mereka mempunyai hanya dua pilihan sahaja - memilih calon BN, P. Kamalanathan atau calon PKR, Zaid Ibrahim.
Pengundi Hulu Selangor bukan tidak mengenal mana kaca dan mana intan. Jangan mudah termakan hujah yang mengatakan kerajaan BN zalim. Bukankah fitnah namanya itu? Kalau kerajaan zalim dan tidak adil, sudah lama rakyat Hulu Selangor kebuluran.
Jadi, fikir yang mana anda akan pilih sebagai pembawa suara rakyat Hulu Selangor ke Dewan Parlimen. Yang bercakap benar atau yang suka buat fitnah?
* Jangan jadi Munafik Muhyiddin...siapa fitnah siapa?
No comments:
Post a Comment