KUALA LUMPUR, 11 April — Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan Melayu terbesar, mengambil pendirian rasmi menolak jawatankuasa antara agama tetapi meletakkan syarat jika mahukan pengiktirafan pihaknya.
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun pihaknya menentang keputusan membentuk jawatankuasa itu yang bertujuan menggalakkan persefahaman dan keharmonian tetapi hanya akan mengiktiraf jika diletakkan di bawah penyeliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Malah kata beliau, Perkasa juga akan bertolak ansur pembentukan jawatankuasa itu jika diletakkan di bawah portfolio Datuk Jamil Khir Baharom, bukannya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Kedua-dua mereka adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Jamil bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam manakala Koh pula aspek perpaduan.
“Kami sangsi dengan jawatankuasa ini, jadi kami menolak jawatankuasa ini kerana kita bercakap mengenai agama (Islam),” kata Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini selepas mempengerusikan mesyuarat Perkasa di sini hari ini.
“Oleh kerana ia berkaitan dengan agama, ia seharusnya berada di bawah bidang kuasa Jakim atau dipandu oleh Jamil dan bukannya Koh Tsu Koon,” kata beliau.
Ibrahim memberitahu walaupun jawatankuasa itu tidak tertakluk kepada rangka kerja perundangan, tetapi ia cukup kuat untuk mempengaruhi Kabinet.
Beliau mendakwa jawatankuasa itu tanpa pentauliahan agama Islam yang kuat dan input-input daripada agama-agama lain mungkin mengancam kesucian Islam.
Justeru kata beliau, pelantikan bekas Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Ilani Isahak sebagai ketua jawatankuasa bukan pilihan yang baik untuk mengepalainya.
“Anda boleh bayangkan apa akan berlaku terhadap akidah, ia akan menghakiskan aspek akidah.
“Ini sesuatu yang anda tidak boleh main-main, ini soal sensitif kepada umat Islam,” katanya.
Ibrahim berkata Perkasa akan melobi agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula jawatankuasa itu dan mengesyorkan supaya ia diubah menjadi jawatankuasa antara kaum dan menggugurkan skop agama.
Perkasa juga akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu dalam waktu terdekat. - TheMalaysianInsider
No comments:
Post a Comment