24 April 2010

Nik Aziz terus gempur kubu Umno

Tidak seperti dijangka, kehadiran menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat kurang berjaya merancakkan sokongan masyarakat Melayu di Hulu Selangor terhadap calon PKR.

Hanya sekitar 400 orang hadir ketika Nik Abdul Aziz merasmikan program Konvensyen Anak Felda di rancangan Felda Sungai Tengi hari ini.

Beliau juga hadir untuk menyelamatkan Datuk Zaid Ibrahim, calon PKR daripada serangan berbentuk peribadi yang dilancarkan BN hinggalah ke saat akhir kempen hari ini.

Program hari ini, yang menyediakan pentas ucapan kepada Nik Abdul Aziz, berkenaan diuar-uarkan sebagai satu saluran untuk menarik sehingga enam peratus lagi sokongan daripada golongan pengundi muda di kawasan tersebut.

Tinjauan Malaysiakini ke atas beberapa orang pengundi bagaimanapun menunjukkan Nik Abdul Aziz gagal memainkan peranan itu.

Pengamatan Malaysiakini menunjukkan, Nik Abdul Aziz turut mengupas isu pengambilan arak dan judi, seperti yang didakwa ke atas Zaid oleh BN.

Namun, beliau dilihat lebih berusaha untuk 'menyelamatkan' PAS daripada dikaitkan dengan isu tersebut.

Katanya, tidak ada masalah untuk Pakatan Rakyat bergabung atas dasar persefahaman ideologi.

Sebelum ini PAS menjangkakan akan meraih sehingga 60 peratus undi daripada kawasan majoriti Melayu ini.

Kawasan Hulu Bernam menjadi taruhan dalam pilihan raya kecil kali ini untuk meraih 66.4 peratus pengundi Melayu daripada keseluruhan kira-kira 17,400 orang pengundi.


Dua DUN lain dalam kawasan parlimen Hulu Bernam mempunyai 30.4 pengundi Melayu di Kuala Kubu Bharu dan 58.5 peratus di Batang Kali.

Namun kawasan Hulu Bernam menjadi taruhan utama kerana didiami golongan peneroka di empat kawasan rancangan Felda.

Pemilihan Zaid yang dikenali dengan buku "Saya juga Melayu" itu bagaimanapun mungkin memberi kelebihan kepada PKR.

Beberapa poster dan kain rentang yang dikesan di kawasan ini menunjukkan sebahagian daripada pengundi Melayu akan mengundi berdasarkan pilihan kaum. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment