07 April 2010

Mahkamah benarkan Anwar pinda tuntutan saman fitnah RM100 juta

KUALA LUMPUR 7 April - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibenarkan untuk meminda pernyataan tuntutannya bagi menyebut secara khusus nama Menteri Luar Datuk Anifah Aman sebagai defendan dalam kes saman fitnah RM100 juta.

Pada mulanya, dalam pernyataan tuntutan itu, Anwar menamakan Anifah atas kedudukan peribadinya sebagai defendan pertama, Menteri Luar sebagai defendan kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Dengan pindaan itu, Anifah dinamakan atas kedudukan rasmi beliau sebagai Menteri Luar.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Prasad Sandosham Abraham memerintahkan peguam S.N.Nair supaya memfailkan pindaan pernyataan tuntutan itu dalam masa dua minggu selepas membenarkan permohonan Nair.

Isu berhubung siapa yang patut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu timbul apabila Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili Menteri Luar dan kerajaan (defendan ketiga) mengemukakan permohonan mereka untuk mengetepikan saman itu.

Amarjeet berkata, Anwar perlu memilih siapa yang beliau ingin namakan selaku defendan dalam kes saman itu memandangkan defendan pertama (Anifah) dan defendan kedua (Menteri Luar) adalah orang yang sama.

Beliau berkata defendan pertama telah melantik Shafee & Co sebagai peguam yang akan mewakilinya atas kedudukan peribadi beliau. - Bernama

No comments:

Post a Comment