25 April 2010

Khutbah Jumaat Hasan Ali bersih politik: Jais

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menolak laporan akhbar mendakwa khutbah Jumaat yang disampaikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali di Masjid As-Salam, Bukit Sentosa kelmarin berunsurkan politik.

Sebaliknya, khutbah yang dibaca Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas Selangor itu lengkap dan mengikut peraturan serta syarat yang ditetapkan oleh Jais.

Pegawai Perhubungan Awam Jais, Nurhamizah Othman berkata, perkara itu telah disahkan oleh beberapa pegawai jabatan berkenaan yang ditugaskan membuat pemantauan di masjid itu.

“Tidak timbul isu beliau (Hasan) menggunakan mas- jid sebagai gelanggang berpolitik kerana Jais sendiri telah membenarkan beliau untuk menyampaikan khutbah di masjid tersebut.

“Malah, khutbah yang disampaikannya mengikut ketetapan yang dibuat oleh Jais,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Nurhamizah turut menolak dakwaan menyatakan Pesuruhjaya Pas Selangor berkenaan ‘terlupa’ membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang menjadi rukun khutbah solat Jumaat.

“Dakwaan itu tidak benar kerana menurut pegawai kita yang berada di sana, solat Jumaat sah ke- rana beliau telah mengikut semua rukun solat dengan lengkap. Jadi, saya tidak pasti kenapa timbul dakwaan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, beliau kecewa laporan akhbar yang telah menggunakan nama Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk mengesahkan dakwaan itu.

“Kenapa nama beliau turut dikaitkan sedangkan Datuk (Mohamed Khusrin) tidak pernah mengesahkan apa-apa mengenai dakwaan itu,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment