KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Keluarga kepada pelawak dan penyampai radio popular, Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri, sedih dan kesal dengan dakwaan yang menyatakan pelawak itu telah meninggal dunia.
Dakwaan itu dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab dalam laman web sosial Facebook hari Khamis.
Adik kepada Din Beramboi, Rozana, 39, berkata beliau sedih dengan dakwaan berhubung perkara itu yang menjadikan sebagai gurauan sempena hari 'April Fool' hari ini.
"Memang kita sedih mendengar perkara seperti itu. Bagaimanapun, kita tidak boleh menghalang perkara sebegini berlaku.
"Sepatutnya, ia tidak berlaku sebab individu yang menulis dakwaan seperti itu adalah daripada golongan dewasa yang boleh berfikir," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Hospital Selayang, dekat sini.
Namun, Rozana berkata pihaknya tidak bercadang untuk mengambil apa-apa tindakan lagi ke atas individu yang menulis laporan itu.
Menurut beliau, laporan itu telah menyebabkan wujudnya kekeliruan dan membuatkan mereka yang berharap agar Din Beramboi selamat, menjadi putus harapan.
Ketika ditanya mengenai kesihatan pelawak itu, Rozana berkata hati dan buah pinggang Din Beramboi sudah tidak boleh berfungsi sepenuhnya dan beliau masih bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.
"Virus demam denggi berdarah yang dialami beliau telah merebak ke hati dan buah pinggang, menyebabkan kedua-dua organ itu tidak boleh berfungsi," katanya.
Beliau berkata Din Beramboi boleh membuka mata dan berkomunikasi dengan anggota keluarga dengan menggunakan isyarat mata.
Rozana dan keluarga berharap semua pihak mendoakan kesihatan Din Beramboi agar pulih seperti biasa.
Turut kelihatan melawat Din Beramboi, pelakon Sharifah Shahira (Shira) dan suaminya , Zulkifly Azari (Ijoy).
Selasa lepas, Din Beramboi, 43, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang kerana disyaki dijangkiti virus kencing tikus.
Bagaimanapun, semalam, anak beliau, Nil Aina Hadibah, 18, mengesahkan kesihatan bapanya itu stabil dan dimasukkan ke ICU kerana disyaki menghidap demam denggi berdarah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment