THE HAGUE: Berterus terang tetapi masih malu-malu. Itulah yang dilakukan pengusaha kedai seks online untuk masyarakat Islam di Belanda.
Laman web kami menerima lebih 70,000 kunjungan pada empat hari pertama, kata pengasasnya, Abdelaziz Aouragh.
Laman itu mula dilancarkan minggu lalu dan menurutnya ia adalah kedai seks erotik pertama seumpamanya di dunia yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Lelaki warga Belanda berusia 29 tahun itu berkata, ia memberikan pasangan Islam yang sudah berkahwin pilihan, berbanding laman lain yang memfokuskan kepada pornografi dan keberahian melampau, yang diharamkan oleh Islam.
Muka depan laman web El Asira yang bermakna Masyarakat dalam bahasa Arab, mempelawa wanita untuk memasukinya dengan menekan sebelah kiri dan lelaki di sebelah kanan.
Sebaik memasukinya, pelanggan boleh melayari laman itu dengan menggunakan bahasa Belanda, Arab atau Inggeris untuk melihat puluhan produk, khususnya minyak urut, pelincir dan pil yang didakwa boleh menaikkan syahwat. Semua bahan adalah halal atau dibenarkan oleh Islam, kata Abdelaziz. Bagaimanapun, dildo dan vibrator serta semua produk pornografi tidak dijual.
Kebanyakan produk itu menggunakan gambar orang bertelanjang atau bahasa kurang sopan. Sukar bagi saya mencari barangan seumpama itu yang boleh saya gunakan untuk perniagaan saya, katanya.
Laman web itu sebaliknya hanya menunjukkan gambar kotak, pil, tiub dan botol, kebanyakannya dalam merah jambu atau biru dengan logo jenamanya.
Kami memilih pendekatan yang lebih sopan, katanya.
Abdelaziz, keturunan Maghribi dilahir dan dibesarkan di Amsterdam berkata, seperti masyarakat Islam lain yang taat kepada agama itu, dia melihat perkara yang membabitkan seks sebagai sesuatu yang dilarang sehinggalah seorang kawan yang menjadi rakan niaganya, Stefan Delsing mendorongnya untuk mengkaji lebih mendalam. – Reuters
No comments:
Post a Comment