23 April 2010

Kamal memikat pengundi terpikat, mengapa?

HULU SELANGOR, 23 April — Dalam temu bual bersama saluran radio RTM Vanavil malam tadi, P. Kamalanathan merumuskan begini — kerana penguasaan bahasa, ada pengundi yang sudah menjanjikan beliau undi mereka, Ahad ini.

“Walaupun tidak fasih bahasa Mandarin tetapi kerana boleh menggunakan beberapa perkataan, antara bertanya khabar dalam bahasa Mandarin seorang pengundi berusia mencuit saya dan berkata ‘undi saya untuk kamu lah’,” kata calon Barisan Nasional (BN) ini dalam program temu bual saluran itu.

Kamalanathan menjadi calon BN pada minit-minit terakhir meskipun nama beliau kedengaran sebaik sahaja kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong akhir bulan lalu.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider sehari sebelum penamaan calon, Kamalanathan mengakui beliau tidak pernah melobi untuk mendapatkan tiket bertanding kali ini, tetapi telah membuat persediaan awal untuk mendapatkan peluang mencuba nasib pada pilihan raya umum ke-13.

Setelah tujuh hari berkempen Kamalanathan yang tinggi orangnya dan berkaca mata,

orang dalam MIC sendiri, masyarakat India dan juga penyokong calon saingannya.

Beliau terus melangkah!

Kamalanathan kini sudah dikenali sebagai “Kamal”. Malah ada yang memanggilnya “K. Nathan”. Selain itu, ada pengundi yang ditemui pula mahu menggambarkan Kamalanathan sebagai “Barack Obama Hulu Selangor”. Macam-macam panggilan diberikan. Apakah ini petanda sokongan kepada beliau pada pilihan raya kecil ini?

Hari ini, Kamalanathan mempunyai 16 program untuk mendampingi pengundi di Hulu Selangor, meningkat jauh berbanding beberapa hari lalu dalam lingkungan lapan hingga 10.

Ketika kempen tinggal kurang 48 jam, Nirmala Kaur, 37, berkata, “saya suka beliau (Kalamanathan) dan yakin beliau mampu memberikan khidmat yang baik kepada rakyat.”

Nirmala, suri rumah dari Taman Musabika, Kalumpang berkata, Kalamanathan kelihatan pemimpin yang baik dan kuat bekerja.

“Saya selalu dengar cerita tentang beliau daripada kawan-kawan selain mengenalinya melalui surat khabar dan televisyen.

“Beliau seorang yang peramah serta bijak berkata-kata dan saya percaya beliau dapat memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” kata Nirmala sebaik sahaja berpeluang bersemuka dengan calon BN ini semalam.

Tambahnya, kempen rumah ke rumah yang dijalankan Kamalanathan memberikan kesan yang baik untuk meraih undi.

“Dengan imej yang bersih selain peramah saya lihat kempen rumah ke rumah ini boleh mempengaruhi pengundi,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, K. Mohan, 41, berkata, Kamalanathan boleh menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab selain dapat membantu rakyat.

“Walaupun belum menjadi wakil rakyat, beliau tetap mahu mengambil tahu masalah rakyat dan beritahu akan cuba menyelesaikannya,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider, mendapati Kamalanathan yang ditemani isterinya, S.Shobana mesra dengan pengundi-pengundi, malah seringkali bergurau-senda dengan mereka.

Ketika berada di Taman Musabika, Kalumpang, Kalamanathan telah melawat hampir keseluruhan kawasan rumah perumahan itu yang mempunyai kira-kira 300 penduduk melibatkan lebih kurang 100 rumah.

Walaupun cuaca panas, beliau tetap bersemangat menjalankan kempen rumah ke rumah untuk berjumpa dengan pengundi-pengundi di kawasan tersebut.

Kamalanathan sebelum ini berkata beliau tidak mahu menjanjikan “bulan dan bintang” kepada pengundi sebaliknya mahu memberikan khidmat terbaik kepada mereka jika dipilih.

Setakat ini Kamalanathan telah melawat kesemua pusat daerah mengundi termasuk di Kuala Kubu Baru, Batang Kali, Kerling dan kini telah memasuki Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam, ketika masih wujud dakwaan kunjungan beliau ke kawasan-kawasan tertentu khususnya masyarakat Cina kurang menyerlah.

Dalam temu bual dengan RTM semalam, Kamalanathan berkata beliau telah menemui kira-kira 40,000 daripada 64,500 pengundi di kawasan Hulu Selangor.

“Saya pasti akan memberikan sokongan kepada beliau kerana saya lihat beliau mempunyai semangat yang tinggi dan bersungguh-sungguh semasa menjalankan tugas.

“Walaupun berjumpa sekejap sahaja tetapi saya lihat beliau memberikan kata-kata yang begitu baik supaya memberikan sokongan kepadanya.

“Saya sempat berbual-bual dan memberitahu masalah yang dialami dan beliau memberitahu akan menolong sekiranya menjadi wakil rakyat,” kata L. Amudah, 53, ibu kepada 11 anak.

Sementara itu, K. Kuliaman, 43, berkata, Kalamanathan mempunyai pakej yang lengkap untuk menjadi seorang pemimpin yang serba-boleh dan berwibawa.

“Walaupun masih muda tetapi beliau mempunyai pakej lengkap untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya,” katanya.

Peniaga, Azman Sharif, 42, juga melihat Kalamanathan sebagai seorang individu yang kuat bekerja tetapi mudah didekati.

“Saya telah meminta tolong supaya dapat menyelesaikan masalah banjir kilat yang seringkali dihadapi di sini,” katanya.

Soo Yok Hwa, 60, seorang kakitangan swasta pula pula meminta Kamalanathan supaya menyelesaikan masalah jalan yang rosak di kawasan tempat tinggalnya.

“Di sini banyak jalan rosak jadi bila dapat berjumpa dengan beliau saya meminta supaya menyelesaikan masalah jalan rosak, banyak jalan yang berlubang yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

“Beliau memberitahu akan cuba untuk menyelesaikan tersebut kerana percaya ia merupakan satu tugas sebagai wakil rakyat,” kata Soo.

Pekerja kontrak, Balu Muniandi, 45, pula berharap supaya Kamalanathan dapat mengotakan janji-janji sekiranya memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

“Saya akan memberi peluang kepada beliau kerana melihat semangat yang ditunjukkan semasa menjalankan kempen rumah ke rumah,” katanya.

Kempen rumah ke rumah Kamalanathan jelas menunjukkan calon itu seorang yang bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan, demikian kata seorang kakitangan awam, Rohani Yusoof, 46.

“Bukan selalu dapat jumpa pemimpin yang sanggup berjalan kaki jauh-jauh semata-mata untuk berjumpa pengundi.

“Beliau sanggup bermandi peluh untuk jumpa pengundi dan meminta supaya beliau diberikan satu peluang untuk menjadi wakil rakyat seterusnya berkhidmat kepada rakyat,” katanya. - TheMaaysianInsider

* Jika calon ini menang, dia sangat berpotensi menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung oleh Muhyiddin. Seperti biasa pemimpin dari UmnoBN tidak akan melayan masalah rakyat sebaliknya akan membalas dengan menambah lagi beban rakyat dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Kenaikan saman daripada 300 ke 1000 hadiah pertama yang akan pengundi terima apabila UmnoBN menang nanti...

No comments:

Post a Comment