09 April 2010

Jurukimpal saman polis kerana dicederakan

KUALA LUMPUR 9 April - Seorang jurukimpal hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi terhadap seorang anggota polis dan Kerajaan Malaysia kerana menyebabkan kecederaan parah kepadanya ketika dalam tahanan reman.

Peguam Lim Lip Eng yang mewakili Tong Ket Ming, 42, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Stella, Lim & Co.

Ket Ming menamakan Fazrul Hadi Yamin, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai defendan pertama dan Kerajaan Malaysia defendan kedua.

Notis saman itu bagaimanapun belum diserahkan kepada pihak defendan.

Dalam penyata tuntutannya, Ket Ming mendakwa pada 9 Julai 2007, beliau telah ditahan secara kasar di rumahnya kerana disyaki terlibat dalam satu rompakan bersenjata api pada 28 Jun, 2007 dan mendakwa dipukul semasa ditahan reman.

Ket Ming menuntut ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan teladan, yang jumlahnya tidak dinyatakan.

Ket Ming mendakwa beliau telah dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan merompak oleh Mahkamah Majistret di sini atas permohonan pihak pendakwaan pada 3 Februari lalu. - Bernama

No comments:

Post a Comment