HULU SELANGOR 24 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 80 peratus daripada 63,701 pemilih berdaftar akan menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, esok.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata keadaan cuaca yang baik pada sebelah pagi dan tindakan SPR dan polis membuat perancangan teliti bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar adalah antara faktor jumlah pengundi dijangka meningkat berbanding 75.24 peratus pada pilihan raya umum lepas.
Justeru, beliau meminta pemilih yang akan mengundi di 48 pusat di Parlimen Hulu Selangor supaya keluar awal pada waktu pagi kerana cuaca dijangka hujan menjelang petang.
"Pengundi tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kerana pasukan keselamatan sudah meningkatkan kawalan bagi memastikan proses mengundi berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan pilihan raya kecil itu.
Abdul Aziz berkata SPR menjangkakan keputusan penuh diketahui sebelum pukul 9.30m malam jika semuanya berjalan lancar kerana pengiraan undi dilakukan di pusat mengundi sebaik tempoh mengundi tamat pada pukul 5 petang. - Bernama
No comments:
Post a Comment