KUALA LUMPUR, 26 April — Seorang anggota Dewan Negara hari ini mencadangkan supaya kerajaan menggugurkan kerakyatan individu yang menentang dan menghina Sultan atau Raja-Raja Melayu.
Senator Tan Sri Dr Jins Shamsuddin berkata perbuatan itu adalah bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan negara.
“Kalau zaman dahulu, sebelum ada mahkamah dan polis, kalau ada orang yang menghina dan menentang Raja akan dihukum pancung, tapi sekarang ini kita tidaklah melaksanakan (hukuman) pancung kerana kita ada undang-undang, mahkamah dan polis.
“Oleh itu, saya cadangkan kerajaan gugurkan kerakyatan mereka yang menghina dan menentang Sultan dan Raja-Raja Melayu kerana tidak ada gunanya rakyat yang tidak menghormati pemerintah negara,” katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, yang dibentangkan Senator Datuk Azian Osman di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Azian melahirkan perasaan sedih, malu dan amarahnya apabila titah ucapan Tuanku Mizan dipertikaikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebahagian besar Anggota Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Beliau berkata perkara itu berlaku hanya kerana Yang di-Pertuan Agong memuji dan menyifatkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin yang perlu dicontohi.
“Lebih memalukan lagi, dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, titah ucapan Tuanku Mizan terpaksa diluluskan dengan (undi) belah bahagi, saya berharap di dalam dewan yang mulia ini tidak akan berlaku perkara ini.
“Kita perlu hormat titah ucapan Tuanku kerana ia adalah hak Tuanku, dan jangan merendahkan Tuanku, jika ada deraf daripada mana-mana pihak, Tuanku akan membacanya terlebih dahulu dan jika Tuanku rasa tidak bercanggah, Tuanku akan perkenankan,” katanya.
Azian berkata mutakhir ini, Sultan dan Raja-Raja Melayu dilihat kerap mengeluarkan kenyataan berupa peringatan kepada rakyat berdasarkan perkembangan semasa tanah air.
Contohnya, pada 23 Mac lalu, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah meminta rakyat menolak pemimpin yang ditaja oleh pihak luar bagi mengelakkan negara dijajah oleh pihak asing.
Pada 22 April lepas, Sultan Perak Sultan Azlan Shah mengingatkan semua wakil rakyat di negeri itu supaya tidak menghina dan mencemari Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dengan perbuatan yang memalukan.
Baginda turut bertitah agar mana-mana pihak tidak menderhakai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu ketika memberi perkenan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
Pada 23 April lalu, Azian berkata pemangku Raja Perak Raja Nazrin Shah bertitah bahawa kuasa mutlak Raja-Raja Melayu dalam urusan agama Islam dan adapt istiadat Melayu hendaklah terus dipertahankan serta dipatuhi.
“Malah baginda mengingatkan bahawa kuasa mutlak Raja-Raja Melayu terhadap kedua-dua perkara itu tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak lain termasuk ketika penjajahan British dan Jepun,” katanya.
Menurut Azian lagi, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan meminta polis mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan masjid sebagai gelanggang politik untuk berkempen pada pilihan raya
kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Bagaimanapun, katanya titah Sultan Sharafuddin itu tidak dihiraukan oleh pembangkang yang terus menggunakan masjid sebagai medan politik. — Bernama
* Raja pun kena tunduk pada undang-undang...
No comments:
Post a Comment