SHAH ALAM – Norsiah Mohamad, ibu kepada Aminulrasyid Amzah, remaja yang ditembak mati awal pagi semalam ketika didakwa cuba melanggar beberapa anggota polis, meminta supaya Allahyarham anaknya tidak digelar penyamun atau penjenayah kerana beliau lebih mengenali siapa sebenarnya anaknya itu.
"Sebagai ibu yang melahirkan dan membesarkannya. Saya sangat terluka dan mohon supaya jangan gelarkan arwah anak saya sebegitu rupa. Tidak adil menuduh anak saya sebegitu tanpa pengesahan,” katanya kepada pemberita di rumahnya ketika dikunjungi Menteri Pertanian dan Indusri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hari ini.
Norsiah, 61, berkata, beliau tidak mengatakan anaknya itu sempurna, namun bagi dirinya, Aminulrasyid adalah seorang remaja yang aktif dalam pelbagai sukan, periang, mempunyai ramai kawan dan bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
"Saya tidak sangka sikapnya yang manja berlebih-lebihan dengan mencium dan memeluk saya saban hari sejak akhir-akhir ini menjadi kenangan yang ditinggalkannya. Malah dia beria-ria mahu membersihkan kubur arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2004 tetapi itu tidak kesampaian,” katanya.
Norsiah berkata, keluarganya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini malam tadi.
Aminulrasyid, 15, dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.
Menurut polis sebilah parang ditemui dalam kereta itu. – Bernama
No comments:
Post a Comment