25 April 2010

Hulu Selangor: Penentuan ‘referendum’ bermula 8 pagi

HULU SELANGOR, 24 April — Selepas kempen rasmi selama lapan hari ini gelanggang pengundian dibuka 8 pagi ini dalam pilihan raya kecil kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) melihat sangat penting bagi mereka — disifatkan sebagai referendum kepada banyak pihak sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.Pakatan Rakyat dan BN melepaskan ‘peluru-peluru isu’ mereka malam tadi dengan mengadakan ceramah perdana masing-masing di kawasan Kuala Kubu Baru dan Bukit Beruntung.

Di pihak BN menyaksikan kehadiran semula, kali kedua dalam tiga hari, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Najib Razak di pentas yang sama untuk mencari sokongan kepada calon mereka.

Mereka menjadikan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sasaran untuk mencari sokongan buat calon mereka P. Kamalanathan.

Bagaimanapun Najib berkata beliau tidak mahu melakukan serangan peribadi tetapi ada menyentuh kes liwat membabitkan Saiful Bukhari Azlan dan kes wanita Mongolia, malah beliau bersumpah tidak mengenali sama sekali wanita berkenaan.

Di Kuala Kubu Baru pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun bersama pemimpin Pakatan Rakyat, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mereka mempertahankan calon mereka Datuk Zaid Ibrahim yang menjadi sasaran peribadi secara bertubi-tubi daripada Umno-BN.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Kamalanathan, 45, dan Zaid 59.

Pada hari penamaan calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima borang daripada empat calon termasuk dua calon Bebas.

Bagaimanapun kedua-dua calon Bebas terbabit menarik diri.

Apa yang menarik kedua-dua Kamalanathan dan Zaid tidak mengundi di bahagian Hulu Selangor.

Ini adalah pilihan raya kecil ke-10 sejak selepas pilihan raya umum 2008 dan pilihan raya kecil pertama di negeri Selangor.

Selepas kempen berakhir tengah malam tadi kedua-dua calon BN tidak mahu membuat spekulasi mengenai peluang mereka.

Kedua-duanya yang kelihatan letih selepas penat berkempen selama lapan hari yang membawa mereka ke serata ceruk di kawasan pilihan raya yang sebesar saiz negeri Melaka, hanya menyerahkan keputusan itu kepada para pengundi bagi menentukan nasib mereka.

Kamalanathan, seorang pegawai perhubungan awam berkata, beliau telah berusaha sebaik mungkin dan berharap para pengundi akan mengundi dengan bijaksana.

“Saya telah berusaha keras... sebenarnya jentera pilihan raya BN juga telah bekerja keras, bekerja tanpa mengenal siang atau malam untuk menemui pengundi.

“Saya berharap pengundi tidak akan terpedaya dengan tipu helah yang dilemparkan oleh pembangkang,” kata Kamalanathan yang meneruskan kempen pusingan terakhir bersama isterinya S. Shobana.

Kawasan pilihan raya Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pengundi termasuk 799 pengundi pos.

Pengundi pos telah mengundi kelmarin.

Zaid, bekas Ahli Parlimen Kota Baru dan bekas menteri berkata, beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai peluangnya memenangi pilihan raya itu.

“Saya tidak mahu meramal mengenai peluang esok (hari ini). Saya serahkan kepada pengundi untuk memilih. Harapan saya supaya pengundi memilih yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Kawasan itu mempunyai 64,500 pengundi dengan 34,020 atau 52.7 peratus adalah Melayu, 16,964 atau 26.3 peratus Cina, 12,453 atau 19.3 peratus India dan kira-kira 1,000 Orang Asli.

Kerusi Parlimen kawasan itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac akibat barah otak. Penamaan calon telah diadakan pada 17 April lalu.

Zainal Abidin memenangi kerusi kawasan itu pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 198 undi selepas menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menyandang kerusi itu selama empat penggal.

SPR menjangkakan kira-kira 80 peratus pemilih dijangka akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata keadaan cuaca yang baik pada sebelah pagi dan tindakan SPR dan polis membuat perancangan teliti bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar adalah antara faktor jumlah pengundi dijangka meningkat berbanding 75.24 peratus pada pilihan raya umum lepas.

Justeru, beliau meminta pemilih yang akan mengundi di 48 pusat di Parlimen

Hulu Selangor supaya keluar awal pada waktu pagi kerana cuaca dijangka hujan menjelang petang.

“Pengundi tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kerana pasukan keselamatan sudah meningkatkan kawalan bagi memastikan proses mengundi berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Aziz berkata SPR menjangkakan keputusan penuh diketahui sebelum pukul 9.30 malam ini jika semuanya berjalan lancar kerana pengiraan undi dilakukan di pusat mengundi sebaik tempoh mengundi tamat pada pukul 5 petang. - TheMalaysianInsider

No comments:

Post a Comment