02 April 2010

Hishammuddin Bidas Pembangkang Sensasikan Kes Polis Tembak Wanita

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini membidas tindakan anggota parti pembangkang yang sengaja mensensasikan sesuatu kes untuk kepentingan sendiri seperti kes seorang wanita yang mendakwa ditembak polis pada Oktober tahun lepas.

"Kalau salah tetap salah dan kita akan ambil tindakan. Cuma dalam nak memberi pembelaan jangan mengaburi mata orang ramai seolah-olah semua yang polis buat semuanya salah, semuanya penyalahgunaan kuasa.

"Kita tak akan lari daripada tanggungjawab kita untuk memastikan mereka yang tidak berdosa mendapat pembelaan. Saya harap orang ramai akan dapat menilai sendiri ketandusan idea dan ketandusan isu (pembangkang) dengan mensensasikan sesuatu perkara untuk kepentingan diri mereka sendiri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, satu memorandum telah diserahkan kepada Hishammuddin oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang yang mengutuk kejadian seorang wanita ditembak oleh polis pada Oktober tahun lepas.

Norizan Salleh, 30, mendakwa ditembak sebanyak lima kali oleh polis ketika menaiki sebuah kereta bersama tiga orang rakannya serta turut ditendang dan dipijak selepas diheret keluar dari kereta itu, dalam satu kejadian di Kuala Lumpur.

Hishammuddin turut mempersoalkan mengapa pembangkang tidak mendedahkan secara keseluruhan fakta mengenai kes Norizan itu.

"Jika anda mahu menuding jari kepada institusi terutama polis, anda mesti adil dan bertanggungjawab, seperti dalam kes yang mendakwa gadis itu ditembak..tetapi aspek lain kejadian itu tidak didedahkan, kapak (dijumpai dalam kereta) dan kereta itu dicuri," katanya.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, Hishammuddin berkata fakta-fakta itu juga perlu didedahkan kepada rakyat untuk mengelakkan rakyat memandang serong terhadap tindakan yang dibuat oleh pihak polis dan agar rakyat tidak mudah terpedaya dengan dakwaan pembangkang itu.

"Contohnya kes yang disebutkan dalam dewan berhubungkait seorang wanita ditembak, kenapa tidak disebut oleh pembangkang mengapa wanita itu ditembak, kenapa tidak disebut bahawa wanita itu berada dalam kereta curi?

"Kenapa tidak disebut kereta itu dilaporkan hilang, dalam kereta itu polis jumpa parang, kapak, pisau, pemutar skru dan nombor plat kereta palsu dan tombol kunci yang telah diubah suai?" katanya menjawab pertanyaan Chua Tian Chang (PKR-Batu) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang menyatakan polis bertindak tidak adil dalam kes itu. - BERNAMA

* Wanita itu berada dalam kereta curi dan itu menghalalkan dia ditembak tanpa amaran dan diperlaku seperti haiwan? UmnoBN terus tidak sedar 'trend' rakyat apabila mereka dizalimi dan diinaya mereka akan mengadu kepada Pakatan Rakyat kerana mereka yakin Pakatan Rakyat memperjuangkan keadilan manakala UmnoBN hanya tahu mengumpul kekayaan untuk diri dan keluarga mereka sahaja.

No comments:

Post a Comment