SHAH ALAM 6 April - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memerintahkan hak penjagaan dua anak perempuan Ramlee Osman, ahli perniagaan yang mati dibunuh di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 27 Mac lepas, diserahkan kepada bekas isterinya.
Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii memutuskan perkara itu selepas dimaklumkan mengenai kematian Ramlee, 41, oleh peguam yang mewakilinya, Akbardin Abdul Kader.
Mahkamah turut memberikan hak lawatan anak-anak kepada keluarga Ramlee pada setiap hujung minggu dan memberi kebenaran sekiranya keluarga Allahyarham ingin memfailkan permohonan baru bagi hak penjagaan kedua-dua anak Ramlee.
Ramlee merupakan defendan dalam kes tuntutan hak penjagaan anak (hadanah) yang difailkan oleh bekas isterinya, Aida Hanim Mohamad Ali, 39, seorang kakitangan swasta, pada Oktober tahun lepas.
Kes itu sepatutnya ditetapkan hari ini untuk mahkamah mendengar keterangan kedua-dua anak Ramlee sama ada mereka memilih untuk tinggal dengan ibu atau bapa mereka. - Bernama
No comments:
Post a Comment