Bukan mudah untuk membuat orang ketawa. Walaupun diri sendiri menanggung seribu satu dugaan atau kesakitan, namun demi title sebagai pelawak, segala kedukaan perlu dipendam sahaja. Kelmarin, kita kehilangan seorang lagi pelawak yang sangat berbakat. Pemilik nama Meor Ahmad Fuad Meor Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi. Kehilangan yang amat dirasai.
Allahyarham Din Beramboi telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang Selasa lalu kerana demam panas telah meninggal dunia pada jam 12.35 malam setelah disyaki terkena virus kencing tikus (leptospirosis) dan kemudiannya disahkan menghidap Dengue Shock Syndrome (denggi berdarah).
Dalam usia 44 tahun, Allahyarham sudah selesa berada di gelanggangnya tersendiri. Bermula pada awal 1990-an apabila kaset celoteh rakamannya mendapat sambutan begitu menggalakkan.
Biarpun pada awalnya tidak tahu kaset itu telah disebarkan kerana ia hanyalah rakaman yang dibuat secara suka-suka, namun dari situlah bermulanya kerjayanya sebagai pelawak.
Walau didengar beribu kali, tetap akan tertawa kerana lawaknya segar dan sentiasa menghiburkan. Biarpun kaset tersebut laris, namun tergambar kekecewaan di hatinya waktu itu apabila ada pihak lain yang telah mengambil kesempatan di atas ideanya.
Namun, di sebalik kekecewaan itu, terselit rasa bangga kerana dari situlah bermulanya sinar baru dalam kerjaya seninya. Allahyarham muncul dengan album celoteh bersama Aznil Hj Nawawi iaitu Sawancara Aznil Dengan Din. Album tersebut telah diterbitkan pada tahun 2000 oleh Kirabagus dan diedarkan oleh PonyCanyon.
Tidak hanya bergerak sebagai pelawak, Allahyarham juga merupakan deejay di beberapa stesen radio. Antara stesen terawalnya adalah THR dan Wanita.fm dan yang terkini radio Era mengendalikan segmen Riuh Pagi Era bersama Aznil Hj Nawawi.
Pada tahun 2002, Allahyarham tampil pula dengan album Din Beramboi Cari Makan yang memuatkan lagu dan sketsa terbitan Broadway. Apa yang menarik mengenai dirinya adalah kepelbagaian gaya dan meniru beberapa suara artis terkenal.
Meminati penyanyi Suhaimi Mior Hassan, Allahyarham pernah memberitahu selesa berlakon bersama teman baiknya Afdlin Shauki memandangkan chemistry di antara mereka berdua. Bukan tidak mahu berlakon dengan pengarah lain, cuma Allahyarham tidak pernah diberi peluang kerana beranggapan Allahyarham hanya sesuai dengan watak komedi.
Antara filem lakonannya bersama Afdlin adalah seperti Los & Fauna, SumoLah, Buli, Baik Punya Cilok serta Kelibat (VCD).
Pun begitu, Allahyarham membuktikan kemampuannya sebagai pelakon serius di dalam video klip lagu Awan Yang Terpilu nyanyian Ning Baizura.
Bapa kepada tiga cahaya mata iaitu Nil Aina Adibah, 18, Meor Shafiq Ar-Ridhwan, 11, dan Nir Ain Syuhada, 6, pernah melibatkan diri dalam industri pengiklanan. Biarpun tidak lama, namun Allahyarham banyak mengutip pengalaman dan melayan pelbagai kerenah manusia. SH
No comments:
Post a Comment