22 April 2010

Cium tangan: Ketuanan Melayu atau tahu adat?

Tindakan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, yang mencium tangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin membuktikan bahawa beliau tahu adat resam, budaya dan budi bahasa masyarakat Melayu.Muhyiddin yang mempertahankan tindakan itu sebaliknya membidas pembangkang kerana mendakwa perbuatan ketua penerangan MIC itu sebagai bukti ketuanan Melayu dengan MIC tunduk kepada Umno.

Katanya, tindakan itu helah pembangkang yang sanggup memutar belitkan fakta kerana sudah kehabisan modal.

"Tiada bahan, tiada modal lagi ke, perkara yang baik dijadikan tidak baik, sebab itu saya labelkan pembangkang ini raja putar alam," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor hari ini.

Muhyiddin berkata, jika hendak dibandingkan Kamalanathan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim, ketua penerangan MIC itu jauh lebih baik daripada segi budi bahasa.

"Saya tak suruh dia cium tangan saya tetapi beliau berbuat begitu mungkin kerana dia sudah faham, bagi saya calon ini amat merendah diri, tidak meninggi hidung, hormati semua pemimpin.

"Kalau dia beri salam pada pihak lain, bertemu dengan orang lain sama ada cium tangan atau tidak, itu tiada apa, mungkin itu adat Melayu yang biasa. Adat lain mungkin tak biasa, bagi saya itu bukan kerana kehendak kita tetapi menjadi satu kebiasaan yang beliau hormati orang tua," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau tidak melihat tindakan itu sebagai melutut dan menunduk kepada Umno kerana ia satu perbuatan merendah diri yang diamalkan oleh calon yang mempunyai nilai yang harus dihargai.

"Saya tidak langsung melihat itu sebagai satu perbuatan sampai tunduk dan melutut, macam sesetengah pembangkang kata begitu. Mungkin pembangkang tidak tahu bahasa atau kurang bahasa, jadi bila seseorang sudah ada bahasa begitu dia kata ini sebagai luar biasa.

"Di Malaysia perkara ini tidak luar biasa, saya lihat kadang-kadang orang Cina yang jumpa Perdana Menteri di Seri Perdana waktu Hari Raya salam dan mahu cium kadang-kadang mahu peluk pun ada, jadi apa benda yang hendak diguna sebagai isu," katanya.

Pada sidang media ini, Muhyiddin sekali lagi menggunakan peluang untuk menyerang peribadi Zaid secara tidak langsung.

Katanya, pembangkang kini pun sukar menepis dakwaan moral calon mereka yang tersebar luas menerusi media dan blog. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment