PUTRAJAYA 26 April – Datuk Seri Najib Tun Razak menolak dakwaan parti pembangkang bahawa Barisan Nasional (BN) terbabit dengan perbuatan membeli undi menggunakan dana awam bagi memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.
Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, apa yang dilakukan dalam kempen pilihan raya kecil itu adalah kerajaan menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat di kawasan tersebut.
“Kita tidak membeli undi tetapi kita menyelesaikan masalah sebenar rakyat yang tidak ditangani dalam sesuatu tempoh masa yang lama, ia adalah masalah besar yang dihadapi penduduk.
“Bukannya BN pergi ke sana ke sini dan beritahu tengok sini kami beri itu dan ini, tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010 anjuran bersama Landskap Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Perbadanan Putrajaya di sini.
Najib yang juga Pengerusi BN mengulas dakwaan pembangkang kononnya BN membelanjakan RM167 juta bagi melaksanakan pelbagai projek dalam usaha meraih undi semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Dalam pilihan raya kecil itu, BN menerusi calonnya, P. Kamalanathan berjaya menumbangkan PKR yang diwakili Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.
Perdana Menteri memberi contoh projek pembinaan persimpangan bertingkat dekat Sungai Buaya, yang baginya bertujuan menangani masalah orang ramai di kawasan tersebut.
“Ia dilaksanakan kerana orang ramai mahukan projek itu dan ia dilaksanakan oleh PLUS (PLUS Expressways Bhd), bukannya dana awam.
“Persimpangan itu bertujuan membantu penduduk tempatan kerana ia akan mampu memendekkan tempoh perjalanan antara 60 hingga 90 minit. Apa yang dilakukan BN adalah menangani masalah sebenar yang dihadapi penduduk, BN bukan beli undi,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menganggap kejayaan BN dalam pilihan raya kecil itu bukan sekadar ‘kemenangan yang baik’ malah ia perlu menjadi landasan ‘kemenangan yang mapan’ kepada parti itu.
“Kemenangan yang mapan iaitu kita akan terus mengekalkan kemenangan dengan memahami apa keperluan yang perlu dilakukan untuk jangka masa panjang.
“Kita tidak boleh hanya mendapat satu kemenangan tetapi perlu membangun dan menguatkan apa keperluan yang mesti dilakukan oleh BN untuk menjadi parti masa depan,” katanya.
Beliau memberitahu, kejayaan merampas kerusi tersebut daripada PKR menaikkan semangat dan memberikan harapan baru bagi memperkukuhkan BN untuk masa depan.
“Kita boleh bina (masa depan) berasaskan kejayaan itu dan kita bersikap positif,” katanya.
Malah, beliau berkata, trend sekarang jelas menunjukkan ia menyebelahi BN walaupun berdepan dengan perlawanan dalam sebuah negeri yang diperintah oleh parti pembangkang.
Justeru, katanya, BN akan melakukan analisis terperinci dan mendalam ke atas keputusan pilihan raya kecil itu.
Ini, katanya, bagi membolehkan BN mengambil tindakan yang diperlukan untuk muncul sebagai sebuah parti yang lebih kuat pada masa akan datang.
“Ujian terakhirnya sudah tentu adalah pilihan raya umum, kerana pada pilihan raya kecil membabitkan isu nasional dan tempatan.
“Tetapi saya berasa suatu menggalakkan, dengan sokongan rakyat, saya harap kita dapat tunjukkan lebih banyak hasil yang dikehendaki oleh rakyat. Kita begitu komited untuk memastikan pelaksanaan dilakukan,” tegasnya. - Utusan
No comments:
Post a Comment