07 April 2010

BN kenal pasti punca ditolak di Selangor

SHAH ALAM 7 April - Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mengenalpasti enam punca pengundi menolak BN pada pilihan raya umum ke-12 sehingga negeri yang merupakan kubu kuat BN itu jatuh ke tangan pakatan pembangkang.

Pengerusi Konvensyen BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed berkata, enam punca itu menunjukkan seolah-olah BN tidak berpijak pada realiti sehingga menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap mereka.

Beliau berkata, punca pertama ialah prinsip muafakat mula bertukar menjadi konflik yang membawa mudarat terutamanya di kalangan hubungan parti komponen BN itu sendiri.

"Punca kedua apabila usaha yang sepatutnya dilakukan untuk menjuarai isu rakyat beralih haluan kepada tindakan memperjuangkan kaum kerabat,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan konvensyen selama sehari itu di SACC Convention di sini hari ini.

Mohd. Zin berkata, turut menjadi punca ialah pergolakan dalaman BN lebih dijadikan tumpuan berbanding usaha membina kekuatan parti itu sendiri selain khidmat dan pendekatan yang dilakukan BN lebih bercorak eksklusif bukan lagi inklusif.

Beliau berkata, punca lain yang turut menyumbang kepada hilangnya kepercayaan pengundi terhadap BN ialah apabila BN ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat yang menjadi trend pada masa kini.

Punca paling nyata mengapa pengundi menolak BN pada PRU lepas, tegasnya ialah apabila BN kurang dan tidak memahami aspirasi pengundi muda. - Bernama

No comments:

Post a Comment