JOHOR BAHARU 7 April - Seorang bekas pengawal keselamatan dijatuhi hukuman gantung sampai mati setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati dia bersalah membunuh tiga anaknya di rumah mereka lebih lima tahun lepas.
Sebaik Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha memutuskan hukuman itu, tertuduh P. Vellertore, 50, tenang menerima keputusan itu tetapi dia kemudian mengangkat tangan selepas jurubahasa membacakan semula penghakiman itu di dalam bahasa Tamil.
Dia bangun sambil meminta mahkamah menimbangkan semula hukuman yang dikenakan itu dan menjerit: “Tuhan Allah tahu saya tak buat”.
Vellertore yang memakai kemeja berlengan pendek warna biru dan berseluar jeans biru gelap mulai menangis namun kemudiannya dinasihatkan peguamnya Bernard George untuk duduk semula sehingga sesi penghakiman selesai.
Menurut fakta kes, Vellertore didakwa membunuh tiga anaknya Rudraa Kumar, 6, Keseprata, 5, dan Harini, 3, dengan mencekik leher mereka sebelum menggantung diri bersama bersama seorang lagi anak perempuan remajanya yang berusia 14 tahun, Revathi.
Dia melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan antara 10.30 pagi dan 3.30 petang di rumah bernombor 681, Jalan Jambu Air 7, Taman Muhibbah, Saleng, Kulai, 20 November 2004.
Revathi yang kesakitan ketika digantung bertindak menjerit meminta pertolongan sebelum dia dan Vellertore diselamatkan jiran mereka. - Bernama
No comments:
Post a Comment