08 April 2010

Azean minta menteri campur tangan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Azean Irdawaty meminta campur tangan Menteri Dalam Negeri dalam menyelesaikan kes anaknya, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, yang kini ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Azean berkata, beliau tidak berpuas hati selagi tidak mendengar sendiri penjelasan berhubung kes itu oleh menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, malah akan terus menyalahkan polis.

Kak Yan berharap sangat menteri terbabit sudi meluangkan sedikit masa bersemuka untuk menjelaskan apa sebenarnya berlaku. Kak Yan sudah buntu dan kesihatan pun mula terganggu mengenangkan nasibnya (Benjy) di penjara.

Jika boleh, Kak Yan mahu menteri campur tangan dalam hal ini kerana naluri keibuan Kak Yan tetap berasakan Benjy tidak bersalah. Sebaliknya, Benjy teraniaya dan mungkin dijadikan alat bagi menutup kegiatan orang lain, katanya ketika dihubungi, semalam.

Azean turut meminta pihak media tidak mengganggunya dengan bertanyakan pelbagai soalan berkaitan kes anak sulungnya itu kerana mahu berehat, lebih-lebih lagi beliau masih dalam proses pemulihan penyakit kanser dihidapinya.

Cukuplah… Kak Yan sudah letih. Sejak semalam selepas polis mengadakan sidang akhbar, Kak Yan menerima panggilan tanpa henti bertanyakan soalan yang sama mengenai kesahihan apa yang dimaklumkan pihak polis.

Kak Yan tidak berdaya dan terlalu penat memikirkan kejadian yang menimpa Benjy. Sudah hampir sebulan Kak Yan tidak boleh tidur lena sehingga terjatuh dari tangga malam tadi akibat tubuh terlalu lemah, katanya.
Kelmarin, polis mendedahkan Benjy dipercayai mempelajari teknik membuat syabu menerusi internet sejak enam bulan lalu berdasarkan penemuan pemacu storan mengandungi 11 artikel berjudul The Secrets of Methamphetamine Manufacture yang disembunyikan di sebuah stor rahsia di tingkat 10, sebuah kondominium mewah di Jalan Segambut di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata kes masih disiasat dan meminta semua pihak tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

Beri kepercayaan kepada polis untuk melengkapkan siasatan bagaimanapun, kita akan majukan perkara ini kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan susulan, termasuk dihantar ke pusat tahanan akhlak, katanya. - BHarian

No comments:

Post a Comment