25 April 2010

Anwar: Undi BN/Kamalanathan, Undi Bawa Kehancuran

SUNGAI BUAYA: Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan jika pengundi mengundi calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan ia akan membawa ke arah kehancuran kerana beliau tidak mampu menjamin suara rakyat Hulu Selangor untuk perbahasan di Parlimen.

Menurutnya, dalam keasyikkan P. Kamalanathan berkempen, beliau telah terlupa bahawa keperibadian beliau dibeli dan bergantung dari rasuah-rasuah BN yang ditaburkan yang kononnya memberi kelebihan pada beliau dalam pilihan raya Hulu Selangor ini.


"Selama mana pemimpin-pemimpin BN akan ada dengan P Kamalanathan, lepas pilihan raya ini semua habis diabaikan kerana tukar haluan memfokus kembali mengaut keuntungan haram," kata Anwar pada ceramah perdana di sini semalam yang dihadiri lebih 10,000 orang.

"Kalaulah BN menang, itu pun kalaulah menang, Kamalanathan tidak akan mampu membela nasib warga Hulu Selangor kerana beliau akan diberi habuan peribadi seterusnya terlupa janji-janji yang ditaburkan," katanya.

Beliau berkata, rakyat Hulu Selangor akan kembali ke zaman bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang keterlaluan menyeleweng duit rakyat untuk kepentingan diri dan bukan untuk rakyat.

"Saya merayu pada seluruh Hulu Selangor agar tidak termakan dengan sumbangan sementara BN yang hanya bersandiwara seketika untuk memenangi pilihan raya.

"Calon PKR Datuk Zaid Ibrahim adalah pemangkin suara rakyat yang akan menegakkan hak keadilan yang diinginkan rakyat tercapai di parlimen nanti," jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan palsu seperti BN tidak mungkin akan memandang masalah rakyat yang perlu difikirkan dan mereka ingin mengaut kekayaan bersama kroni masing-masing sehingga memudaratkan ekonomi negara.

"Kita janganlah terima rasuah yang bersifat sementara dari BN yang tidak menjamin kehidupan anak cucu kita kemudian hari dan perlu befikir jauh untuk perubahan.

"Dengan memberi kepercayaan pada Datuk Zaid dan Pakatan Rakyat (PR), negara akan membangun bersama rakyat tanpa memberi kelebihan pada kroni-kroni seperti BN," katanya.

Datuk Seri Anwar tiba ketika ceramah perdana sedang berlangsung bersama para pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Turut hadir menyampaikan ucapan ialah Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin (Ampang), Anthony Loke (Rasah) Yusmadi Yusoff (Balik Pulau) dan Saifuddin Nasution Ismail (Machang).

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin dan timbalannya Fariz Musa turut berkempen bagi menyakinkan penduduk Hulu Selangor supaya mengundi Zaid. - FreeMalaysiaToday

No comments:

Post a Comment