08 April 2010

Anak terkenang pesanan terakhir Din Beramboi

DAMANSARA: “Masih segar dalam ingatan kami pesanan terakhir arwah papa, supaya kami menjaga mummy dengan baik sebulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” luah anak sulung arwah Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi.

Nil Aina Adibah Mior Ahmad Fuad, 18, berkata pesanan itu pada anggapannya hanya gurauan bapanya yang sentiasa menceriakan sesiapa saja di sekelilingnya, tapi beliau tidak menyangka ‘gurauan’ itu menjadi nyata apabila arwah menghembuskan nafas terakhir Jumaat lalu.

“Terlalu banyak kenangan kami bersama papa. Papa seorang ayah yang hebat, bertanggungjawab malah sentiasa menitikberatkan keperluan kami. Mintalah apa saja darinya, pasti arwah tidak pernah menghampakan kami walaupun dia terpaksa ketepikan kepentingannya.

“Pemergiannya memang satu kehilangan besar tapi kami bersyukur kerana pada saat arwah di hujung nyawanya, dia mampu tersenyum dan raut wajahnya bersih hinggalah jenazahnya disemadikan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan oleh Media Prima Berhad (Media Prima) kepada keluarga arwah Din Beramboi di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam.

Sumbangan RM10,000 itu disampaikan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar kepada Nil Aina yang mewakili isteri Allahyarham, Suhaini Che’man, 42.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar.

Johan berkata, sumbangan itu berikutan rasa tanggungjawab dan prihatin Media Prima terhadap keluarga arwah di samping menghargai sumbangannya yang pernah berkhidmat di beberapa stesen televisyen di bawah syarikat itu. - Mymetro

No comments:

Post a Comment