06 March 2010

Zulkifli sengaja cari publisiti?

KUALA LUMPUR 5 Mac - Tindakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang meninggalkan prosiding Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam, disifatkan sebagai sengaja mencari publisiti.

Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, Zulkifli sedia maklum bahawa langkahnya itu akan menjadi bahan berita media arus perdana sekali gus menonjolkan dirinya sebagai individu yang sensitif dengan kepentingan Islam.

Menurutnya, beliau yakin Ahli Parlimen itu telah pun mengetahui lebih awal barisan panel jawatankuasa yang akan mengadili kesnya itu kerana mereka bukannya dilantik secara mengejut atau bidang terjun tetapi melalui pelantikan rasmi parti.

"Saya rasa Zulkifli Noordin sebagai pihak yang disiasat telah mengetahui lebih awal, bukannya hanya dimaklumkan semasa menghadiri prosiding itu.

"Kecualilah jika PKR melantik ahli panel itu seperti 'memukul gong' dan menjemput siapa sahaja yang berminat untuk menganggotainya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini

Beliau mengulas perbuatan Zulkifli yang meninggalkan prosiding berhubung isu kalimah Allah kerana tidak berpuas hati dengan komposisi ahli panelnya yang turut dibarisi aktivis Kristian.

Empat anggota panel disiplin itu ialah Syed Kamarulzaman Syed Kaber selaku ketua panel manakala dua lagi aktivis Kristian, Goh Keat Peng dan Chew Swee Yoke serta seorang beragama Hindu, T. Kumar.

Zulkifli dihadapkan ke Lembaga Disiplin PKR kerana membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Mengulas lanjut, Noor Sulastry Yurni berkata, secara dasarnya PKR dilihat seperti tidak bersungguh- sungguh menangani perkara itu apabila tetap melantik golongan bukan Islam sebagai ahli panel yang mengadili isu kepentingan orang Islam.

"Mungkin ia boleh dianggap sebagai salah satu proses semak dan imbang tetapi perlu diingat, keputusan majoritinya agak sukar diperoleh kerana setiap daripada mereka pasti akan berusaha menegakkan pendapat masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hamdan Mohamad Razali berkata, secara umumnya tindakan Zulkifli tidak akan memberi impak negatif kepada PKR, sebaliknya akan menambahkan lagi populariti ahli Parlimen itu.

Katanya, sokongan ahli-ahli PKR terutama Melayu akan semakin bertambah terhadap Zulkifli yang dilihat sebagai jaguh dalam mempertahankan sensitiviti umat Islam.

"Ia lumrah bagi orang Melayu akan menyokong individu yang mempertahankan Islam.

"Contohnya jika sesebuah masjid itu tidak pernah penuh dengan jemaah tetapi apabila ada pihak mengugut untuk merosakkannya, pasti masjid itu akan dipenuhi oleh orang ramai termasuk yang tidak pernah hadir atau bersembahyang atas satu niat, untuk mempertahankannya," katanya.

Dalam perkara ini, beliau berkata, Zulkifli perlu menjelaskan pendiriannya yang sebenar sama ada masih ingin terus bersama dengan parti itu atau berjuang sebagai wakil rakyat Bebas.

"Beliau tidak lagi boleh berteka-teki kerana hala tuju PKR dilihat semakin tersasar daripada landasan perjuangan yang dijunjung oleh Zulkifli, kena segera bertindak kerana dikhuatiri akhirnya penyokongnya akan bosan," katanya. - Utusan

* Biasanya orang yang baik tidak akan istihar dirinya baik kepada umum.

No comments:

Post a Comment