01 March 2010

Zulkifli ada sebab sebut bajingan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin kecewa dengan sesetengah pemimpin Islam sehingga mengeluarkan kenyataan ‘bajingan’ dan ‘balaci’ terhadap mereka yang mengikut kata orang kafir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, Zulkifli mempunyai fokus dan sebab tersendiri ketika ucap kenyataan itu.

“Beliau mempunyai bukti tertentu untuk menyedarkan pemimpin Islam yang lalai tanggungjawab mereka sebagai ketua masyarakat.

“Malahan, ia berdasarkan pengamatan dan penelitian terhadap orang yang dikenal pasti sebagai pemimpin Islam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tindakan Zulkifli berdasarkan tanggungjawab terhadap agama Islam, terutama membabitkan isu sambutan Maulidur Rasul dan tentangan hukum Islam oleh pihak tidak berkenaan.

“Keputusan sambutan Maulidur Rasul ditentukan bukan Islam amat tidak wajar, pelik dan janggal kerana berbaur unsur politik.

“Beliau mempunyai asas untuk berkata sedemikian kerana gusar dengan cara pimpinan oleh pihak tertentu,” katanya.

Kelmarin, Zulkifli di laman blognya dengan lantang menyuarakan pendapat berhubung pimpinan Islam yang sedia menjadi ‘bajingan’ dan ‘balaci’ terhadap pihak tertentu.

Beliau turut menyelar orang bukan Islam membabitkan isu penghinaan dan pertikaian terhadap hukum Islam serta pemimpin yang mementingkan kedudukan dan jawatan dengan mengetepikan prinsip dan matlamat perjuangan sebenar agar kembali berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata, Zulkifli tidak wajar menuduh pihak berkaitan dengan perkataan itu.

“Dalam Islam kita dilarang menggelar orang kerana ia perbuatan fasik (muslim yang mengingkari hukum Islam secara sedar),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment