31 March 2010

Shahidan cadang permudah urusan kahwin elak buang bayi

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mengesyorkan pihak berkuasa agama setiap negeri mempermudahkan urusan berkahwin di kalangan muda-mudi bagi menangani gejala negatif seperti kes buang bayi yang makin membimbangkan.

Jelas Shahidan, langkah tersebut juga dilihat berkesan kerana dapat mengurangkan kes-kes pembuangan bayi terutamanya membabitkan remaja Islam.

Menurut beliau, syarat-syarat yang ketat semasa nikah merupakan punca generasi muda menjalinkan hubungan secara sulit, sekali gus menyebabkan berlakunya tekanan sehingga sanggup membuang bayi.

“Semua itu berlaku kerana hubungan mereka tidak direstui.

“Tambahan pula apabila hendak berkahwin, macam-macam syarat dan kekangan dikenakan sehingga ia menyusahkan.

“Saya melihat daripada melarang hubungan itu, lebih baik kita kahwinkan mereka dengan cara yang mudah tetapi mengikut hukum syarak,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Semalam mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui tersangkut pada pukat di Sungai Pasir dekat Kampung Panching dekat Kuantan.

Bercakap kepada pemberita di Sungai Pertani semalam Shahidan memberitahu, apabila hubungan menjadi sah, maka tiada lagi tekanan perasaan untuk membuang bayi.

Shahidan mengulas mengenai kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan kes buang bayi sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, syarat-syarat berkahwin di negara ini didapati sungguh membebankan kerana berbeza di setiap negeri.

“Sepatutnya, jika ikut peruntukan agama, perkahwinan harus dipermudahkan. Namun, di Malaysia kita ada 13 undang-undang untuk berkahwin, setiap negeri mempunyai peruntukan berlainan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, pihak berkuasa agama juga sepatutnya mengutamakan soal nikah serta hukum daripada memikirkan birokrasi berkaitan urusan berkahwin.

“Sepatutnya, undang-undang mengenai perkara ini juga diselaraskan di seluruh negara supaya ia mengamalkan standard yang sama dan memudahkan urusan perkahwinan,” jelasnya. - TheMalaysianInsider

* Bukan main Shahidan...

No comments:

Post a Comment