03 March 2010

Selagi PBB disokong, UMNO tidak masuk Sarawak

KUCHING 2 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan UMNO tidak akan mengembangkan sayap ke Sarawak kerana parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain di negeri ini telah mendapat sokongan padu malah terbukti mampu membela rakyat.

Presiden UMNO itu memberi jaminan selagi PBB dan parti-parti komponen BN Sarawak taat setia bersama BN, UMNO tidak akan ditubuhkan di negeri Bumi Kenyalang ini.

Menurut Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, sudah terbukti selama ini, PBB adalah rakan dan kekuatan yang setia kepada UMNO serta BN dalam keadaan susah serta senang.

''Selagi PBB disokong oleh rakyat dan selagi parti itu boleh memimpin BN di negeri ini, maka UMNO tidak akan wujud di negeri Bumi Kenyalang ini," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PBB Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, para pemimpin tertinggi PBB, pemimpin parti-parti komponen, barisan Kabinet Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, pada sidang akhbar kemudiannya, Perdana Menteri berkata, pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang bakal menjadi kayu pengukur terhadap pemulihan dan kebangkitan semula BN selepas mengalami pengalaman pahit pada Pilihan Raya Umum 2008.

Menurut Najib, beliau beranggapan kejayaan PBB dan juga parti-parti komponen BN di Sarawak begitu penting bagi mencapai matlamat itu.

Perdana Menteri turut tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan lebih awal daripada pilihan raya umum berikutan tempoh mandatnya tamat pada Julai tahun depan.

''Perhimpunan Agung PBB pada hari ini amat penting kerana kehadiran ramai pemimpin PBB di semua peringkat, terutamanya di peringkat akar umbi menunjukkan bahawa parti itu telah bersedia berjuang sehingga mencapai kejayaan yang besar," jelas beliau.

Pada masa yang sama, Najib memberitahu, BN tidak akan mengambil kesempatan daripada kemelut yang berlaku terhadap parti pembangkang ketika ini untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri berkata, masih terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya dan ia bukan berdasarkan pada satu faktor sahaja.

Apa yang penting menurut beliau, perlu ada latihan mencukupi, kerajinan dan komitmen serta sesuatu keputusan yang dibuat tepat pada masanya oleh semua pihak. - Utusan

* Sayu ugutan untuk PBB.

No comments:

Post a Comment