29 March 2010

Polis cari Badrul Muhayat bantu siasatan kes pukul isteri

KUALA LUMPUR 28 Mac - Polis kini sedang mencari seorang pelakon dan model yang terkenal sekitar tahun 1990-an, Badrul Muhayat Ahmad Jailani bagi membantu siasatan kes pukul isterinya, baru-baru ini.

Pelakon berusia 41 tahun itu gagal dikesan selepas dipercayai memukul isterinya yang dikenali sebagai Julia, 28, di rumah mereka di Kampung Cheras Baru pada pagi Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pukul 7 pagi apabila Badrul Muhayat pulang ke rumahnya selepas beberapa bulan tidak pulang.

Katanya, berdasarkan keterangan isteri pelakon itu, mangsa ditumbuk di muka, pipinya dicengkam selain beberapa bahagian badan lebam akibat dipukul dengan penyapu.

"Mangsa bekerja sebagai penari di Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan dan mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya dengan Badrul Muhayat.

"Wanita itu dibawa oleh jirannya ke Balai Polis Ampang untuk membuat laporan selepas kejadian itu sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis Ke-203 kepada Koperal Khalid Che Ros, 48, yang dilanggar lari ketika bertugas tahun lalu.

Menurut Abdul Jalil, ini merupakan kali keempat polis menerima laporan daripada mangsa sejak tahun lalu.

Tiga laporan sebelum ini adalah dua kes ugutan jenayah yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu kes mendatangkan kecederaan yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, ketika kejadian, Julia masih dalam pantang selepas melahirkan anak kedua mereka.

Abdul Jalil memberitahu, dalam kejadian terbaru, mangsa dikatakan bergaduh dengan suaminya selepas mengesyaki pelakon itu mengadakan hubungan sulit dengan perempuan lain.

"Suaminya dikatakan berang dengan dakwaan mangsa dan dipercayai bertindak memukulnya sebelum keluar dari rumah pada hari kejadian.

"Beberapa orang jiran yang mendengar pergaduhan pasangan suami isteri itu datang memberi bantuan sebelum membawa mangsa ke balai polis.

"Kita juga telah mengambil keterangan daripada beberapa orang jiran mangsa bagi membantu siasatan," katanya.

Menurut Abdul Jalil, polis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas pelakon itu.

Badrul Muhayat yang kini membintangi drama Awan Dania musim kedua pernah memegang watak utama dalam beberapa filem tahun 1990-an antaranya Harry Boy, Riang Tirana, Azizah The Legend dan Kad Cinta. - Utusan

No comments:

Post a Comment