(Gambar : Sebahagian penduduk Kampung Tanjung Punai, Kuantan mengaminkan doa di depan kawasan rumah mereka yang akan dirobohkan oleh pemilik tanah di Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali )KUANTAN 15 Mac - Kira-kira 30 penduduk berang apabila sebuah syarikat pemaju memberi tempoh selama dua minggu sebelum rumah mereka dirobohkan di Kampung Tanjung Punai, di sini.
Kesemua lapan keluarga yang menetap di kampung tersebut sejak 30 tahun lalu dikatakan hanya dibayar pampasan sebanyak RM625 daripada syarikat terbabit yang merancang mahu menjadikan tapak rumah mereka sebagai kawasan perindustrian.
Bayaran pampasan yang rendah itu dikatakan antara punca kemarahan penduduk terbabit terhadap syarikat berkenaan.
Wakil penduduk kampung itu, Tengku Bahakeri Shah Tengku Mahmud berkata, penduduk menerima notis terakhir daripada mahkamah untuk mengosongkan kediaman mereka Ogos tahun lalu.
"Kami sedia maklum bahawa dalam notis itu, kami diberi tempoh dari 13 Ogos hingga 15 Disember lalu untuk berpindah namun yang menjadi masalahnya kami tiada tempat untuk berpindah.
"Jika diberi rumah untuk berpindah, kami tiada masalah, malah dengan rela hati akan keluar sendiri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Apa yang dikesalkan dakwa Tengku Bahakeri Shah, setiap keluarga hanya diberikan pampasan atau wang ehsan sebanyak RM625.
Malah dakwanya, pihak syarikat yang menjadi pemilik tanah berkenaan tidak mahu mengadakan perjumpaan dengan penduduk untuk membincangkan mengenai penempatan berkenaan.
"Kami faham ini tanah kerajaan dan syarikat yang membelinya bebas berbuat apa sahaja, namun kami memohon belas ihsan kerajaan supaya menyediakan tempat tinggal lain untuk kami.
"Apabila mereka datang merobohkan kediaman secara mengejut seumpama ini, ke mana kami hendak berpindah malah hendak membina rumah lain pun tidak sempat dalam tempoh dua minggu yang diberikan," katanya.
Tengku Bahakeri Shah berkata, penduduk kampung itu telah mengadu perkara itu kepada wakil rakyat yang berjanji akan membantu mereka mendapatkan rumah lain untuk berpindah.
"Sebab itu kami menangguhkan hasrat untuk berpindah kerana kami mengharapkan akan ada rumah baru yang disediakan, namun hampa.
"Ketika ini, tiada apa lagi yang boleh dibuat kecuali mengikut sahaja arahan mahkamah yang dikeluarkan," katanya.
Bagaimanapun, Tengku Bahakeri Shah memberitahu, penduduk bercadang untuk berjumpa dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk membincangkan mengenai nasib mereka, esok.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif ketika dihubungi menjelaskan, beliau telah cuba membantu penduduk terbabit dengan membuat surat sokongan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa apabila keputusan mahkamah dikeluarkan.
"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana rumah setinggan itu didirikan di atas tanah persendirian dan bukannya tanah kerajaan.
"Kita ada rancangan untuk menempatkan mereka di Kampung Pak Mahat di sin, namun sehingga kini rumah di situ masih belum disiapkan," jelasnya.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga terbabit.
''Bantuan berkenaan telah diluluskan oleh Menteri Besar dan akan diperoleh tidak lama lagi," katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu mendapati operasi meroboh rumah setinggan itu hari ini ditangguhkan berikutan bantahan penduduk. - Utusan
* Pahang, sebelum ini Terengganu roboh rumah rakyat...
No comments:
Post a Comment