27 March 2010

Nik Aziz nasihat rakyat patuhi perlembagaan

KOTA BHARU 26 Mac - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat supaya tidak terikut-ikut dengan kumpulan tertentu dalam kemelut yang melanda istana Kelantan sebaliknya mematuhi undang-undang dan perlembagaan sedia ada.

Sambil menegaskan kerajaan negeri tidak tersepit dengan kemelut yang berlaku, Menteri Besar Kelantan itu berkata, beberapa kenyataan yang dibuat oleh Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamad sebelum ini telah menjelaskan keadaan sebenar berlandaskan undang-undang.

"Ini masalah perlembagaan, saya serah kepada orang yang berkenaan iaitu Abdul Halim dan saya ucap terima kasih kepada beliau kerana buat kenyataan sebelum ini.

"Apa yang penting Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra masih gering, kalau tuan-tuan berasa hendak ziarah atau menghadap sendiri sila lakukan, tengok sejauh mana tahap kesihatan tuanku, boleh buat kerja atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Semut Api di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas krisis yang melanda institusi diraja Kelantan termasuk pemecatan Pengerusi Majlis Perajaan Kelantan, Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah yang diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias hari ini.

Kemelut yang melanda itu dilihat seperti tidak penghujungnya apabila semalam, Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud semalam mengumumkan Tuanku Ismail telah menitahkan penamatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja.

Bagaimanapun beberapa jam kemudian Wan Hashim ditahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaaan kerana menipu dengan menjalankan penyamaran.

Mengulas mengenai penahanan Wan Hashim, Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri tidak campur tangan dalam kemelut tersebut dan akan berpegang kepada perlembagaan bagi menghadapi sebarang masalah yang timbul.

"Alhamdulillah, kerajaan negeri selamat bahkan kalau ada perkara yang menyusahkan negeri ini, kalau polis tolong selesai saya ucap terima kasih banyak.

"Tidak ada apa yang boleh saya komen ini kerja polis kalau tidak ada kes, polis tak tangkap," katanya. - Utusan

* Kita jadi raja sehari bolehlah...

No comments:

Post a Comment