30 March 2010

Nik Aziz bersyukur dilantik semula Mursyidul Am Pas

KOTA BHARU 29 Mac – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kesyukurannya kerana dilantik semula sebagai Mursyidul Am Pas, namun menyifatkan tugas yang diamanahkan oleh parti amat berat memandangkan kesihatannya yang tidak menentu.

Beliau berkata, amanah itu juga adalah satu cabaran baginya untuk terus memberi khidmat sebagai Mursyidul Am sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Pas.

Majlis Syura Ulama Pas yang mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur hari ini mengekalkan Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am Pas, manakala Datuk Dr. Harun Din pula sebagai Timbalan Mursyidul Am bagi sesi 2010-2015.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Nik Abdul Aziz berkata, beliau telah pun dimaklumkan mengenai pelantikan semula ke jawatan itu yang disandangnya lebih 10 tahun, selepas mengambil alih daripada Allahyarham Datuk Yusoff Rawa.

"Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan Pas Pusat di atas kepercayaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang berat ini.

"Namun saya anggapkan ia sebagai ketentuan Allah kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan saya,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment