05 March 2010

Khairy: Pengekalan Anwar sebagai ketua pembangkang akan bawa masalah kepada PR

KUALA LUMPUR, 4 Mac — Pengekalan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang akan mengundang lebih banyak masalah bukan sahaja kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah kepada pakatan pembangkang secara keseluruhannya, kata Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin (gambar).

Beliau berkata tindakan PAS dan DAP yang masih memberi kepercayaan kepada Anwar adalah agak luar biasa kerana bilangan anggota Parlimen dari DAP melebihi PKR selepas tiga anggota Parlimennya bertindak keluar parti baru-baru ini.

“Biasanya parti yang paling banyak anggota Parlimen itu yang diberi penghormatan untuk jadi Ketua Pembangkang tetapi sekarang ini mereka masih memberi penghormatan kepada Datuk Seri Anwar.

“Mungkin mereka terutamanya PAS tak yakin dengan Lim Kit Siang (Anggota Parlimen Ipoh Timur dan veteran DAP), jadi mereka terpaksalah masih lagi memberi sokongan kepada Anwar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pergerakan Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) yang diketuai oleh ketuanya Jamaludin Gulamhan, di sini hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata pengekalan itu juga jelas menunjukkan bahawa pakatan pembangkang tidak mempunyai pelan kepimpinan seterusnya dan hanya bergantung kepada Anwar.

“Rentak mereka dah jadi teruk dan tidak ada pelan kepimpinan pula, maka saya percaya ini tidak akan memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya. Mengenai dakwaan tiga anggota PKR yang keluar parti itu ‘dibeli’ BN, Khairy berkata itu cuma alasan pakatan pembangkang untuk menutup kelemahan mereka sendiri.

“Mereka lompat parti jadi anggota Parlimen Bebas, mereka bukan masuk Umno atau mana-mana parti komponen BN dan ini bukan berlaku satu malam...jadi saya melihat ini lebih kepada keputusan mereka yang merasa kecewa dengan kepimpinan PKR,” katanya.

Dalam tempoh kurang sebulan tiga anggota Parlimen PKR mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas iaitu Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), dan yang terbaru semalam, Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Sementara itu, Khairy berkata pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Pemuda PPP itu antara lain membincangkan tentang langkah-langkah yang boleh mengukuhkan lagi Pergerakan Pemuda BN.

“Kita melihat bagaimana parti-parti komponen khususnya PPP boleh membantu Pemuda BN dalam semua program-program terutamanya daripada segi penambahan anggota parti komponen dan sebagainya.

“Kita juga telah bincang beberapa strategi untuk menumpukan PPP di kawasan bandar kerana kebanyakan anggotanya datang dari bandar dan keanggotaannya yang berbilang kaum,” katanya. — Bernama

* Rancangan UmnoBN menggunakan isu 'MP khianati rakyat' bukan sahaja tidak berjaya menjatuhkan Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang di parlimen tetapi menambah kebencian rakyat terhadap UmnoBN yang merestui pengkhianat rakyat ini. Jika undi rakyat mereka tidak amanah, bagaimana dengan duit rakyat pula.

No comments:

Post a Comment