Polis pantau sempadan elak pelakon lari
KUALA LUMPUR: Isteri pelakon dan model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani berharap suaminya akan berubah dan bertanggungjawab terhadap segala perbuatan yang dila-kukan terhadap dirinya.
Julia Daud, 28, yang mendakwa pernah dipukul ketika dalam pantang anak kedua, berkata beliau masih tertekan mengenai kejadian itu dan belum bersedia memikirkan masa depan rumah tangganya.
“Saya masih tertekan dengan apa yang berlaku, selain terpaksa menguruskan dua anak termasuk yang baru berusia empat minggu seorang diri tanpa suami,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Beliau yang kini berpantang di kampungnya di Sungkai, Perak, berkata sejak kejadian Rabu lalu, Badrul tidak pulang tetapi pernah menghubunginya untuk bercakap dengan anak sulung mereka yang kini berusia dua tahun.
“Saya tidak tahu di mana dia sekarang, cuma memberitahu tinggal di rumah kawan. Saya berharap dia akan berubah dan bertanggungjawab terhadap perbuatannya, apa lagi ketika kejadian saya masih dalam pantang,” katanya.
Mengimbas kejadian Rabu lalu, Julia yang juga penari kebudayaan sambilan berkata, selepas dikasari secara fizikal, beliau terpaksa meminta pertolongan jiran untuk menghantarnya ke Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis.
Julia dalam laporannya mendakwa ditumbuk selain ditendang dan dipukul termasuk dengan penyapu.
“Selepas kejadian itu, saya tidak pasti apa yang perlu dilakukan, hanya memikirkan anak dan menghabiskan tempoh berpantang di kampung.
“Selepas itu baru saya bercadang mencari pekerjaan tetap untuk menyara diri dan anak. Nak harap dia balik, saya tak pasti.
“Biarlah saya tenangkan fikiran kerana saya tidak mahu membuat keputusan dalam keadaan tertekan,” katanya.
Julia juga mendakwa, kejadian minggu lalu bukan kali pertama kerana sebelum ini beliau pernah beberapa kali dikasari.
Semalam akhbar ini melaporkan, polis sedang mencari Badrul Muhayat, 41, bagi membantu siasatan kes pukul isterinya.
Pelakon yang pernah membintangi filem Azizah The Legend dan Harry Boy sehingga kini masih gagal dikesan.
Sementara itu, polis mendapatkan bantuan pihak berkuasa di pintu keluar sempadan negara untuk menjejaki Badrul.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata langkah itu adalah usaha terakhir yang dilakukan pihaknya jika pelakon terbabit masih enggan menyerah diri.
Katanya, polis juga sudah meminta bantuan jiran pasangan itu di Kampung Cheras Baru, Ampang, untuk memaklumkan kepada mereka jika pelakon terbabit pulang ke rumah terutama pada tengah malam dan awal pagi.
“Sebelum ini, kita hanya memantau rumah pelakon berkenaan pada awal pagi,” katanya.
Beliau juga berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya menghubungi balai polis berhampiran. - Bharian
No comments:
Post a Comment