26 March 2010

Curi kereta RM600,000

KUALA LUMPUR: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) muda hanya mampu menepuk dahi apabila kereta mewah Mercedes Benz hitam model S300L yang baru dibelinya tidak sampai sebulan lesap dilarikan penjenayah yang menyamar ‘joki’ kenderaan.

(Gambar Hiasan)

Difahamkan kereta mewah dengan nombor siri cantik berkenaan baru dibeli pengurus syarikat terbabit dengan harga RM600,000.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa bersama isteri pergi ke bangunan pusat beli-belah di Jalan Ampang, untuk menjamu selera.

Difahamkan sebaik sampai ke lokasi, mangsa keluar daripada kenderaan sebelum menyerahkan kunci bersama kenderaan terbabit kepada seorang lelaki dipercayai joki bertugas di pusat beli-belah berkenaan.

“Mangsa yang memperoleh resit meletak kenderaan kemudian menjamu selera di tingkat satu bangunan itu dan selepas selesai makan dua jam kemudian, dia pergi ke pintu masuk utama bangunan untuk mengambil kenderaannya.

“Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila diberitahu kunci keretanya tiada dalam simpanan. Lebih mengejutkan apabila kereta mewah yang berada di bawah jagaan joki turut lesap dilarikan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cuba mendapatkan penjelasan, bagaimanapun diberikan pelbagai alasan oleh kumpulan joki bertugas yang seolah-olah enggan bertanggungjawab.

“Susulan itu, mangsa yang kebingungan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

“Hasil siasatan menerusi kamera litar tersembunyi (CCTV) yang diletakkan di pusat beli-belah itu polis menahan empat lelaki yang juga pekerja joki di pusat beli-belah terbabit yang disyaki ada hubungan dengan sindiket mencuri kereta mewah,” katanya.

Beliau berkata, keempat-empat suspek direman bagi membantu siasatan.

Difahamkan, polis sebelum ini menyedari kegiatan mencuri kereta mewah yang didalangi joki atau penjaga valet tempat meletak kereta bagi mengklon kunci kereta pemilik sebelum kenderaan itu dilarikan. Suspek yang berkomplot dengan sindiket kereta mewah turut dikesan berupaya melakukan ubah suai terhadap kunci kenderaan dicuri.

Sindiket yang memiliki rangkaian ‘keanggotaan misteri’ itu tidak pernah mengenali antara satu sama lain kerana setiap individu diberikan tugas berbeza mengikut kepakaran masing-masing bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Malah, apabila individu terbabit menyelesaikan tugasan diberikan, individu lain akan mengambil alih tugas sehingga kereta itu dijual kepada pembeli.

Difahamkan kereta yang mempunyai sistem penggera canggih dan Sistem Kedudukan Global (GPS) tidak terlepas daripada kegiatan sindiket itu. Ini kerana kebanyakan kereta yang dicuri akan diletak di dalam kontena bagi mengelak sistem GPS mengesan lokasi kereta terbabit. - Mymetro

No comments:

Post a Comment