AKTOR drama popular Awan Dania, Badrul Muhayat Ahmad Jailani begitu berang ketika diminta untuk mengulas mengenai laporan di dada-dada akhbar semalam yang mendakwanya kini diburu polis bagi membantu siasatan ke atas kes pukul isterinya.
Badrul yang dihubungi mStar Online berkata, dia terlalu marah dengan 'laporan melampau' yang diterbitkan itu.
Katanya, laporan itu telah 'diperbesar-besarkan' daripada fakta sebenar yang berlaku hingga menjejaskan urusan rutinnya.
"Saya terlalu geram dan marah dengan laporan yang diterbitkan itu. Ia sangat melampau dan sengaja dibesar-besarkan daripada fakta sebenar.
"Ia bukan sahaja mencemarkan nama saya, malah lebih teruk hingga menyusahkan pergerakan saya untuk melakukan rutin seharian.
"Sekarang, saya sukar hendak bergerak ke mana-mana pun. Semuanya jadi terbatas disebabkan oleh laporan itu. Sedangkan ia tidak seburuk dan seteruk seperti mana yang didakwa," kata Badrul dengan nada marah.
Tambah Badrul, pertengkaran dengan isteri adalah lumrah bagi mana-mana pasangan yang berkeluarga.
Dia yang mengakui bergaduh dengan isterinya itu, bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya telah bertindak kejam dan melampau sebagaimana yang dilaporkan.
"Itu perkara biasa dalam berumah tangga tapi tidaklah sampai teruk seperti yang dilaporkan. Laporan akhbar itu seolah-olah memberi gambaran yang saya telah bertindak dengan kejam dan melampau," katanya penuh kekesalan.
Ketika diminta untuk mengulas lanjut, Badrul bagaimanapun enggan untuk bercerita kerana berada dalam keadaan yang tidak senang. Dia juga memohon untuk diberi sedikit ruang privasi.
"Minta maaf, saya tidak bersedia untuk bercakap lebih lanjut. Saya akan beri komen esok atau lusa. Saya harap saudara faham keadaan saya sekarang," ujar Badrul mengakhiri perbualan ringkas itu.
Dalam kejadian pagi Rabu lalu, Badrul dilaporkan telah bertindak kejam terhadap isterinya Julia Daud, 28, dengan memukul, menumbuk, menendang serta mencekik leher isterinya itu di rumah mereka di Kampung Cheras Baru.
Pihak media juga melaporkan, polis kini sedang mencari pelakon popular itu untuk mendapatkan keterangan. - Mstar
No comments:
Post a Comment